Iskandar Ismail sedekah sebahagian wang kemenangan bantu golongan memerlukan - Utusan Malaysia

Iskandar Ismail sedekah sebahagian wang kemenangan bantu golongan memerlukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Juara Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), Iskandar Ismail, menyatakan hasrat untuk menyedekahkan sebahagian daripada wang kemenangan yang diterimanya bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Iskandar berkata, sebahagian daripada hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 itu akan disalurkan kepada anak-anak yatim serta individu yang sedang berdepan kesukaran kewangan bagi meringankan beban mereka.

“Saya sebenarnya sudah memasang niat sejak awal. Saya mahu membantu sesiapa sahaja yang memerlukan. Sebahagian daripada hadiah kemenangan ini akan diberikan kepada anak-anak yatim dan mereka yang berada dalam kesusahan,” katanya.

Beliau ditemui Utusan Malaysia di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, Ahad.

Mengulas mengenai perbezaan nilai mata wang sekiranya wang tersebut dibawa pulang ke Singapura, Iskandar menegaskan perkara itu tidak menjadi penghalang untuk beliau terus berbakti di kedua-dua negara.

Menurutnya, bantuan yang ingin disalurkan tidak akan tertumpu di satu lokasi sahaja, sebaliknya berharap manfaat kemenangan tersebut dapat dirasai oleh masyarakat di Malaysia dan Singapura.

“Tidak kisah soal nilai tukaran. Jika ada rezeki untuk membantu di Singapura atau di Malaysia, saya akan berbuat demikian. Insya-Allah, itu memang doa dan hajat saya untuk berkongsi rezeki,” ujarnya.

Tindakan tersebut bukan sesuatu yang asing bagi Iskandar memandangkan beliau pernah menyalurkan sumbangan kepada Persatuan Kanser sebelum ini selepas memenangi sebuah pertandingan di negara kelahirannya.

“Memang saya sudah berhajat untuk berkongsi sedikit daripada apa yang saya peroleh dengan mereka yang memerlukan,” katanya.

Terdahulu, Iskandar Ismail dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) selepas menewaskan enam peserta lain pada pentas akhir yang berlangsung malam tadi.

Kejayaan itu melayakkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, selain set ruang tamu tajaan Empire Reka serta trofi kemenangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN