SHAH ALAM: Selepas 11 minggu persaingan sengit, Iskandar Ismail dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) sekali gus mengetepikan enam peserta lain pada pentas akhir yang berlangsung, malam tadi.
Kejayaan itu melayakkan Iskandar membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000, selain set ruang tamu tajaan Empire Reka serta trofi kemenangan.
Pada persembahan akhir, Iskandar mempertaruhkan lagu Madah Berhelah bagi segmen solo, Senja Nan Merah dalam persembahan duet bersama Jaclyn Victor, manakala segmen ‘battle’ menyaksikan beliau membawakan Cerita Kedai Kopi dan Pink Venom.
Tempat kedua pula menjadi milik kumpulan Mendua yang membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000, set ruang makan tajaan Empire Reka serta trofi.
Penyanyi Nubhan selesa di kedudukan ketiga dan menerima hadiah wang tunai RM30,000, set bilik tidur tajaan Empire Reka serta trofi.
Sementara itu, tempat keempat diraih Mark Adam yang memenangi hadiah wang tunai RM20,000, set perabot tajaan Empire Reka dan trofi.
Biarpun sekadar berada di kedudukan kelima dan keenam, Mell Sakura dan Ruri Repvlik masing-masing tidak pulang dengan tangan kosong.
Mell Sakura membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, manakala Ruri Repvlik menerima RM10,000, selain set perabot tajaan Empire Reka dan trofi.
Pentas akhir GV12 diadili barisan juri tetap terdiri daripada Datuk Ramli MS, Datuk Shafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang.
Program realiti nyanyian itu dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad, serta disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).-UTUSAN










