PETALING JAYA: Hock Soon Capital Berhad (Hock Soon) menyasarkan untuk mengumpul RM60 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad yang dijadualkan secara pada 13 Februari 2026.
Pada harga IPO 60 sen sesaham, Hock Soon dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM300 juta selepas penyenaraian, berdasarkan modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 500 juta saham.
Daripada jumlah hasil IPO itu, sebanyak RM53.5 juta atau 89.1 peratus akan digunakan bagi membangunkan ladang ternakan ayam baharu di Teluk Intan, Perak, bertujuan meningkatkan kapasiti pengeluaran telur syarikat, manakala baki RM6.5 juta atau 10.9 peratus diperuntukkan bagi menampung kos penyenaraian.
Pengarah Eksekutif Hock Soon, Alex Ong Keat Hoe berkata, syarikat merancang membina sebanyak 25 reban ayam sistem tertutup di kemudahan baharu itu, merangkumi lima reban untuk anak ayam dara (pullet) dan 20 reban bagi ayam penelur matang.
Menurutnya, ladang ternakan baharu berkenaan akan dilengkapi sistem automasi canggih, teknologi pemantauan dan kawalan, selain stesen penggredan serta pengasingan berpusat bagi meningkatkan kecekapan operasi dan tahap biosekuriti.
“Apabila ladang ternakan Teluk Intan siap sepenuhnya, kapasiti pengeluaran telur harian Hock Soon dijangka meningkat kira-kira 1.53 juta biji sehari, selain pengeluaran sedia ada sebanyak 1.63 juta biji sehari setakat 24 Disember 2025.
“Ini mewakili peningkatan hampir 93.9 peratus dalam kapasiti pengeluaran telur harian,” katanya dalam kenyataan.
Ketika ini, Hock Soon mengendalikan sebuah ladang ternakan di Bidor, Perak yang merangkumi 26 reban ayam sistem tertutup untuk ayam matang dan tujuh reban untuk pullet, dengan kapasiti masing-masing sebanyak 1.74 juta ekor ayam matang dan 486,912 ekor pullet.
Ladang tersebut mempunyai kapasiti pengeluaran semasa kira-kira 1.48 juta biji telur sehari.
Dari segi prestasi kewangan, Hock Soon mencatatkan pertumbuhan kukuh bagi tempoh tahun kewangan berakhir 30 September 2022 hingga 2025, dipacu terutamanya oleh peningkatan jualan telur meja.
Dalam tempoh itu, keuntungan bersih syarikat melonjak 189.7 peratus kepada RM42 juta pada tahun kewangan 2025 berbanding RM14.5 juta pada tahun kewangan 2022, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) tiga tahun sekitar 42.8 peratus.
Syarikat turut mengekalkan purata margin bersih empat tahun yang sihat sebanyak 22.4 peratus.
Pendapatan pula meningkat secara konsisten kepada RM147.4 juta pada tahun kewangan 2025 berbanding RM134.2 juta pada tahun kewangan 2022, disokong purata margin keuntungan kasar empat tahun sebanyak 31.4 peratus.
IPO Hock Soon dibuka untuk langganan mulai hari ini hingga 30 Januari 2026.
M & A Securities Sdn. Bhd. bertindak sebagai Penasihat, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi pelaksanaan IPO tersebut. –UTUSAN










