KUALA LUMPUR: Pelakon, Hisyam Hamid, 40, menolak khabar angin kononnya dia dalam fasa bahagia dengan seorang penerbit wanita.
Tegas Hisyam, mereka hanya berkawan dan bukan pasangan kekasih seperti didakwa.
“Kami saling mengenali lebih 10 tahun. Sampai sekarang masih berkawan, tapi tidak lebih daripada itu.
“Kami selesa bersahabat. Cuma khabar angin yang ditimbulkan membuatkan kami menjarakkan diri,” katanya.
Hisyam berkata demikian pada sidang media filem Black Ops: Operasi Serigala, baru-baru ini.
Pelakon kelahiran Singapura itu dalam masa yang sama berharap gosip berkenaan dapat ditamatkan segera.
“Saya kurang selesa dengan gosip begini. Mungkin orang lain boleh terima, tapi tidak saya.
“Sebab itu saya ambil pendekatan untuk tidak terlalu rapat dengan mana-mana wanita supaya tidak timbul gosip seperti ini,” kongsinya.
Dalam pada itu, Hisyam juga memaklumkan dia enggan gosip sedemikian mengguris perasaan anak-anaknya.
“Anak-anak sudah dewasa. Sebagai ayah, saya rasa tak seronok kalau mereka baca gosip seperti ini. Saya kena jaga perasaan mereka,” katanya lagi. – UTUSAN










