Harimau belang masuk perangkap di Bukit Kinding - Utusan Malaysia

Harimau belang masuk perangkap di Bukit Kinding

HARIMAU belang yang memasuki perangkap dipasang Perhilitan Perak di Bukit Kinding dekat Ipoh hari ini. - GAMBAR IHSAN PERHILITAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seekor harimau belang jantan dianggarkan seberat 75 kilogram masuk perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak di Bukit Kinding, Tambun di sini hari ini.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, haiwan pemangsa itu memasuki perangkap pada pukul 1 petang tadi selepas perangkap berkenaan dipasang pada pukul 10 pagi.

Katanya, aduan berhubung kehadiran haiwan itu di sekitar kawasan berkenaan diterima daripada penduduk setempat semalam.

“Siasatan dijalankan di lokasi sebaik sahaja kita menerima aduan penduduk dan bertindak memasang perangkap bagi menangkap harimau tersebut.

“Sekitar pukul 1 petang tadi, kita menerima laporan harimau belang itu masuk ke dalam perangkap yang dipasang anggota pada sebelah pagi,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati haiwan itu dianggarkan berusia dua tahun dan tiada kecederaan fizikal dikesan pada haiwan berkenaan.

“Bagaimanapun pemeriksaan akan dijalankan bagi memastikan haiwan itu benar-benar sihat. Harimau belang itu akan ditempatkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Yusoff mengesahkan harimau yang ditangkap bukan harimau yang sedang diburu di kawasan rekreasi aktiviti mendaki popular Bukit Bangkong seperti yang tular sebelum ini.

“Berdasarkan laporan, harimau ini berbeza dan berkemungkinan anak kepada harimau yang dikesan sebelum ini di kawasan Bukit Bangkong,” katanya.

Semalam, seekor harimau kumbang jantan dianggarkan berusia tiga ke empat tahun dengan berat 40 kilogram berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap dipasang Perhilitan di Bukit Bangkong.

Perangkap itu dipasang Perhilitan Perak pada 9 Disember lalu selepas dua ekor lembu milik penternak mati dengan kesan gigitan manakala lima ekor lembu lagi dilaporkan hilang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN