KANGAR: Hala tuju UMNO khususnya soal kerjasama dengan DAP di dalam Kerajaan Perpaduan antara yang dijangka dibangkitkan akar umbi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 bermula hari ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Saiful Fariddil Jasmi berkata, selain itu, beliau turut menjangkakan akar umbi akan menuntut penjelasan daripada kepemimpinan mengenai hala tuju parti di dalam Kerajaan Perpaduan.
Katanya, akar umbi juga sudah pasti mahu melihat pengukuhan UMNO untuk kembali menjadi parti Melayu utama di negara ini.
“Mengenai soal kerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan, akar umbi jelas tidak mahu DAP terus bersifat besar kepala dan perlu mengelak sentimen 3R serta perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan.
“Saya jangka soal kerjasama di dalam Kerajaan Perpaduan khususnya hubungan dengan DAP antara yang bakal dibangkitkan akar umbi dan menghangatkan perhimpunan UMNO kali ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, UMNO tidak menghalang ahlinya daripada membangkitkan sebarang usul, termasuk cadangan berkaitan kedudukan parti dalam Kerajaan Perpaduan pada PAU 2025.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, walaupun tiada usul keluar Kerajaan Perpaduan dihantar kepada Ibu Pejabat UMNO, namun ia tidak menghalang jurucakap untuk membangkitkan isu tersebut.
Saiful Fariddil berkata, kerjasama UMNO dan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) juga dijangka dibangkitkan meskipun terdapat perbezaan pandangan berkaitan soal itu.
“Akar umbi mungkin boleh bangkitkan tetapi perhimpunan ini bukan menjadi kata putus untuk UMNO bergabung dengan mana-mana parti,” katanya merangkap Ketua UMNO Bahagian Kangar.
Sementara itu, beliau percaya Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh tidak akan meletak jawatan sebaliknya akan meneruskan momentum pemuda yang terus diterima rakyat.
“Muhamad Akmal telah berjaya membawa dan memimpin pemuda dengan cukup baik dan kembali meyakinkan rakyat terhadap UMNO. Momentum itu mesti diteruskan,” katanya.-UTUSAN










