SHAH ALAM: Pelakon dan pengacara, Raja Azura, 53, merayu kepada bekas suaminya, Adzmin Osman agar memunculkan diri dan berjumpa anak-anaknya.
Menurut Raja Azura yang mesra dengan panggilan Kak Engku, dia sentiasa terbuka dan mengalu-alukan bekas suaminya itu berjumpa anak-anak yang menyuarakan keinginan untuk berjumpa bapa mereka.
“Anak-anak saya sudah terlalu lama tidak berjumpa bapa mereka. Mereka berkeinginan untuk jumpa dia dan maklumkan kepadanya yang mereka sudah dewasa.
“Jadi kepada kepada Adzmin Osman, tolonglah beri peluang kepada anak-anak untuk berjumpa awak.
“Tenang-tenangkan diri, berfikirlah seperti orang dewasa. Buang ego sebab ia tidak akan menyelesaikan masalah kita. Dan saya nak maklumkan di sini, anak-anak itu jugalah yang akan menjaga dia sekiranya dia sakit nanti.
“Saya tak pernah halang anak-anak jumpa bapa mereka. Jadi, hadirlah dan jalankan tanggungjawab dengan baik. Insya-Allah,” katanya yang ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam di sini pagi tadi.
Bekas penyampai radio Sinar itu dalam masa yang sama mengakui tidak tahu menahu mengenai keberadaan bekas suaminya itu yang sampai ke hari ini gagal memunculkan diri untuk berjumpa anak-anak.
“Saya ini tinggal di rumah yang sama, di alamat yang sama. Lainlah kalau saya berkahwin sekali lagi, tentulah saya akan berpindah ke rumah lain.
“Selain itu dia juga tahu anak-anaknya menuntut di UiTM Shah Alam. Seorang di Puncak Alam, dua lagi di Puncak Perdana. Dia boleh datang jenguk mereka bila-bila masa.
“Dan, setiap kali Hari Raya Aidilfitri, tak akanlah dia langsung tidak rindukan anak-anaknya.
“Pada masa yang sama saya juga ada anak perempuan, satu hari nanti apabila dia mahu berkahwin, tentulah dia mahu berwalikan bapanya,” ujarnya.
Sementara itu, Raja Azura memaklumkan yang dia tidak pernah menabur benih kebenciaan dalam diri anak-anaknya dan sentiasa mendidik mereka agar menghormati bapa mereka.
“Saya ajar anak-anak agar menghormati bapa mereka. Demi Allah saya tidak pernah menghasut anak-anak agar membenci bapa mereka.
“Cuma, ada ayah yang mengambil kesempatan apabila anak-anak memberi ruang dan peluang kepada mereka. Jadi kalau itu berlaku, saya tidak berdiam diri dan akan masuk ‘gelanggang’.
“Tapi apa pun saya yakin anak-anak kuat. Dan saya pun ajar mereka agar tidak menyimpan dendam atau benci kepada bapa mereka. Terima dengan hati terbuka. Doa ayahkan membawa kejayaan.
“Saya doakanlah Allah buka pintu hati dia untuk bincang secara baik. Saya harap dia datang dan jadi ayah yang bertanggungjawab,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, pagi tadi meluluskan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah yang difailkan Raja Azura terhadap bekas suaminya itu yang gagal melaksanakan tanggungjawab tersebut sejak perceraian mereka 15 tahun lalu.
Kebenaran itu diputuskan Hakim Syarie, Tuan Salehan Yatim selepas berpuas hati dengan penjelasan dan keterangan yang dikemukakan Raja Azura sepanjang prosiding berlangsung, pagi tadi.
Untuk rekod Raja Azura dan Adzmin mendirikan rumah tangga pada 2001 namun bercerai pada 28 September 2010.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq Adzmin, 24; Megat Luqman Hakim Adzmin, 23; dan Puteri Mia Maizura Adzmin, 21.










