SEPANG: Dua ‘ulat teksi’ berani mengambil risiko apabila sanggup menggunakan kereta milik isteri mereka bagi menawarkan khidmat kereta sewa haram demi mengaut keuntungan lebih.
Tindakan itu bagaimanapun memakan diri apabila mereka ditahan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Khas Ulat JPJ di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.
Ketika soal siasat, salah seorang daripada mereka mengakui kereta milik isterinya itu baru sahaja dibeli sebelum dijadikan ‘teksi haram’ olehnya.
“Kereta ini didaftarkan atas nama isteri dan baru sahaja keluar (dimiliki),” itu pengakuan seorang lelaki tempatan yang ditahan kerana menjalankan kegiatan ‘ulat teksi’.
Sementara itu, seorang lagi ulat teksi yang ditahan mengakui dia yang baru pertama kali terlibat kegiatan ini sanggup menyewa sebuah kereta dengan sewaan RM460 seminggu bagi tujuan menjalankan kegiatan teksi haram itu.
Pemandu itu mengakui dia baru kali pertama menjalankan kegiatan itu di lapangan terbang berkenaan.
“Saya tak sangka ditahan kerana ini kali pertama saya buat jalankan kegiatan ini,” katanya.
Pengakuan itu dibuat di hadapan Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan selepas operasi ulat teksi di Terminal 1, KLIA di sini hari ini.
Muhammad Kifli menjelaskan, ulat teksi berkenaan boleh dituduh mengikut Seksyen 227 APAD 2010 dan antara hukuman yang boleh dikenakan termasuk melucutkan hak kenderaan berkenaan.
“Kenderaan yang digunakan untuk operasi ulat teksi boleh disita dan dilucutkan haknya di bawah Seksyen 227 APAD 2010, bermakna JPJ boleh memohon mahkamah untuk mengambil pemilikan kenderaan tersebut,” katanya.
Selain itu, Muhammad Kifli berkata, pihaknya telah menempatkan seramai 14 orang Pegawai JPJ di Stesen Penguatkuasa (SPK) KLIA termasuk anggota penyamaran di Terminal 1 & Terminal 2 KLIA bagi membenteras kegiatan ulat teksi ini. – UTUSAN










