PETALING JAYA: Greentronics Technology Berhad mengembangkan perniagaannya ke industri insurans digital Thailand menerusi kerjasama strategik antara anak syarikatnya, Mpire Mobility Sdn Bhd dan Thai Paiboon Insurance Public Company Limited (TPB), salah sebuah syarikat insurans am terbesar di negara itu.
Greentronics dalam kenyataan berkata, kerjasama tersebut bertujuan memanfaatkan peningkatan perjalanan rentas sempadan Malaysia-Thailand, khususnya dalam kalangan pemandu kenderaan persendirian.
“Menerusi kerjasama ini, Mpire Mobility dan TPB akan menyediakan pelbagai perkhidmatan insurans digital inovatif untuk pemandu Malaysia yang memasuki Thailand, dengan TPB ketika ini memegang portfolio insurans am terbesar bagi kenderaan Malaysia yang memasuki wilayah selatan Thailand.
“Sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, pelanggan TPB dari Malaysia akan mendapat akses kepada platform perkhidmatan automotif sehenti milik Mpire Mobility yang menghubungkan pemilik kenderaan secara langsung dengan bengkel sah bagi tujuan penyelenggaraan dan pembaikan,” katanya.
Pengerusi Eksekutif Greentronics, Datuk Billy Goh Soo Wee berkata, sejak penubuhan Mpire Mobility pada 2024, syarikat itu telah mencatatkan pelbagai pencapaian penting termasuk pemasangan sistem telematik pada 1,000 kenderaan serta lebih 10,000 pengguna akhir dalam ekosistem Jom MyServis.
“Kerjasama baharu dengan Thai Paiboon Insurance, salah satu syarikat insurans am terbesar di Thailand, merupakan satu pencapaian penting buat Mpire Mobility dan Greentronics.
“Melalui kemasukan kami ke dalam industri insurans digital Thailand, kami akan terus mengembangkan perniagaan Mpire Mobility sambil memanfaatkan peningkatan perjalanan rentas sempadan Malaysia-Thailand,” katanya.
Mengulas lanjut, Greenthronics berkata, pelanggan juga boleh menggunakan aplikasi mudah alih Jom MyServis untuk mendapatkan bantuan kecemasan di jalan raya serta sokongan logistik, termasuk pengurusan penghantaran semula kenderaan ke Malaysia bagi tujuan pembaikan dan tuntutan insurans.
“TPB pula akan menyediakan perkhidmatan berkaitan insurans kepada pemandu Malaysia menerusi platform digital Mpire Mobility, sekali gus mengurangkan kebimbangan berkaitan halangan bahasa, cabaran komunikasi serta kerumitan proses tuntutan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan TPB, Eugene Foong berkata, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat itu untuk meningkatkan perlindungan pelanggan melalui inovasi digital serta penyelesaian rentas sempadan yang praktikal.
“Melalui kerjasama dengan Mpire Mobility, kami dapat memperluaskan perkhidmatan insurans melangkaui sempadan negara, sekali gus memberikan kejelasan, keyakinan dan sokongan yang lebih baik kepada pemandu Malaysia yang berada di Thailand sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.
Menurut beliau, integrasi platform digital serta penyelarasan proses selepas jualan akan membantu memperbaiki komunikasi, mempercepatkan pengurusan tuntutan dan menawarkan pengalaman yang lebih lancar kepada pelanggan.
Tambahnya, Greentronics berkata, hubungan ekonomi yang semakin erat serta peningkatan populariti Thailand sebagai destinasi pelancongan telah menyumbang kepada pertumbuhan perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara, dengan penambahbaikan infrastruktur yang dirancang dijangka terus merangsang trend tersebut.
“Pada 2025, pelancong dari Malaysia dilaporkan mencatatkan jumlah tertinggi ketibaan pelawat asing ke Thailand dengan lebih 4.5 juta pelawat, manakala semasa musim puncak, lebih 10,000 individu menyeberangi sempadan setiap hari melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Kedah,” tambahnya. – UTUSAN










