KEPALA BATAS : Pembangunan Galeri Arkeologi Guar Kepah di sini tidak bercanggah dengan agenda pertumbuhan ekonomi negara ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bahkan, galeri itu berpotensi untuk menjadi tarikan baharu dalam bidang penyelidikan, sejarah dan pelancongan jika ia diurus secara bijak.
Pada masa yang sama, beliau melihat bahawa kajian arkeologi yang dijalankan di situ tidak seharusnya ditumpukan kepada satu disiplin ilmu semata-mata.
Sebaliknya, Anwar berkata, ia perlu disepadukan dengan beberapa disiplin ilmu yang lain seperti sains, ekologi, pelancongan, perdagangan dan sebagainya.
“Jadi, galeri ini adalah tunjang utama, tetapi, ia perlu dibangunkan lagi. Ia harus berfungsi sebagai pusat ilmu supaya orang ramai memahami maksud arkeologi, maksud ekologi dan bagaimana ekologi itu berkait rapat dengan usaha menyingkap warisan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Galeri Arkeologi Guar Kepah yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow serta beberapa kenamaan lain.
Dibina berkonsepkan ‘archaeo-edu-tourism’ di atas tapak berkeluasan 0.97 hektar, galeri tersebut mempamerkan rangka-rangka manusia prasejarah yang sebelum ini disimpan di Belanda termasuk ‘Penang Woman’ yang dijangka menjadi tarikan utama pengunjung.
Selain menyediakan ruang pameran interaktif, galeri berkenaan juga dilengkapi dengan dewan seminar, tapak timbunan cengkerang, ruang pentadbiran serta beberapa kemudahan lain termasuk surau dan tandas untuk kemudahan pengunjung.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, Galeri Arkeologi Guar Kepah yang mula dibina sejak 2022 dan menelan kos RM10 juta itu akan berperanan sebagai mercu tanda budaya dan pemangkin ekonomi bagi Pulau Pinang.
“Dengan menjadikan galeri ini sebagai tunjang, kita berjaya mewujudkan hab baharu bagi ilmu pengetahuan, pelancongan dan pembangunan komuniti,” ujar beliau.










