KUALA LUMPUR: Pelakon, Firdaus Ghufran, 24, mengakui pernah berdepan detik hitam apabila hampir menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang lelaki bernafsu songsang ketika bergelar pelakon cilik suatu ketika dahulu.
Firdaus bagaimanapun berkata, dia bernasib baik kerana berjaya menepis cubaan tersebut namun tidak menolak perkara itu sukar dilupakannya.
Menurut Firdaus, perkara seperti itu sememangnya wujud dan berlaku dalam industri hiburan, khususnya melibatkan kanak-kanak yang baru memasuki bidang berkenaan.
“Perkara ini memang ada dan memang berlaku. Ia hampir terjadi kepada saya, tetapi saya berjaya mengelakkannya kerana individu tersebut menghormati saya. Selepas itu, saya tidak mengetahui apa-apa lagi tentang dia, tak mahu ambil tahu,”katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Majlis Tayangan Perdana Filem Mak, di One Utama, semalam.
Selain itu, Firdaus turut menzahirkan kebimbangan terhadap keselamatan pelakon kanak-kanak yang masih mentah dan kurang pengalaman, sekali gus terdedah kepada pelbagai risiko.
“Budak-budak yang baru masuk industri biasanya tidak tahu apa-apa. Mereka masih kosong dan tidak memahami keadaan sekeliling terutama dalam industri hiburan ini.
“Bagi saya kenapa nak buat begitu? Mereka pun ada kehidupan, ada ibu bapa, ada saudara mara dan tindakan orang seperti ini tidak waras. Ini bagi saya sangat teruk,”katanya.
Disebabkan itu, Firdaus menyeru mana-mana ibu bapa agar lebih berwaspada dan sentiasa memantau anak-anak yang terlibat dalam bidang seni khususnya dalam dunia lakonan.
“Perkara berkaitan seksual sangat serius, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kanak-kanak. Ibu bapa perlu sentiasa menjaga dan melindungi anak-anak mereka kerana ada pihak yang sanggup melakukan perbuatan kotor walaupun hanya sekali.
“Bagi saya kifarah itu benar. Dalam bidang ini, semua orang mahu mencari rezeki dengan baik,”katanya.
Terdahulu, pelakon, Alqal Sahar, mendedahkan kepada umum bahawa dia pernah menjadi mangsa liwat seorang pengarah ketika bergelar pelakon cilik.
Menurut Alqal, dia memilih untuk berdiam diri selama ini kerana mahu menjaga hubungan kekeluargaan memandangkan pelaku juga merupakan darah dagingnya sendiri.










