JOHOR BAHRU: Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) kali ke-28 akan mencatatkan rekod baharu melibatkan penyertaan peserta daripada jumlah negara tertinggi dalam penganjurannya iaitu sebanyak 56 negara antarabangsa tidak termasuk Malaysia.
Datuk Bandar Pasir Gudang, Datin Paduka Hazlina Jalil berkata, penglibatan peserta daripada negara tertinggi sebelum ini adalah berjumlah 49 negara antarabangsa iaitu pada tahun 2012.
Katanya, penganjuran FLLSPG pada tahun ini turut menyaksikan penyertaan peserta dari lima negara baharu iaitu Algeria, Greece, Uruguay, Hungary, Qatar dan Tunisia.
“Penganjuran FLLSPG tahun ini lebih bermakna apabila ia diadakan bersempena dengan sambutan Tahun Melawat Johor dan Tahun Melawat Malaysia tahun ini, jadi program ini merupakan antara tarikan utama kalendar pelancongan negara.
“Kita menjangka kehadiran adalah lebih daripada 650,000 pengunjung tempatan dan luar negara sepanjang lima hari program berlangsung antara 4 hingga 8 Februari depan,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Menara Aqabah, di sini.
Hazlina turut memberitahu, tema FLLSPG kali ke-28 ini adalah ‘Benua Bertamu di Langit Johor, Meh Lah’ yang melambangkan kejayaan festival menghimpunkan pelayang-pelayang dari enam benua untuk bersama-sama berkumpul di Pasir Gudang.
“Jumlah keseluruhan peserta kali ini dianggarkan seramai 155 peserta dengan majoritinya melibatkan pelayang tempatan yang sememangnya dikenali dalam industri ini,” jelasnya.
Pada masa sama, Presiden Majlis Pelayang Malaysia, Datuk A. Rahim Nin memberitahu, selain pelbagai kategori permainan layang-layang, FLLSPG tahun ini bakal menyajikan beberapa acara menarik seperti Pameran Layang-Layang Enam Benua; Pavilion Tahun Melawat Johor 2026; Malam Mahabbah; Battle of The Band; Cabaran TikTok; Fiesta Makanan serta Fiesta Baju Raya.
“Bagi memeriahkan lagi sambutan FLLSPG ini, turut diadakan konvoi melibatkan 26 buah motosikal yang akan mengunjungi semua daerah di Johor bagi mempromosikan lagi program tahunan bertaraf antarabangsa ini.
“Seperti penganjuran FLLSPG terdahulu, bukan hanya peserta dan peniaga yang terlibat dengan program mendapat pekerjaan, tetapi juga pelbagai perkhidmatan lain-lain sekitar Pasir Gudang dan Johor Bahru seperti hotel, rumah tumpangan serta restoran tempatan,” jelasnya. – UTUSAN










