JOHOR BAHRU: Permainan layang-layang tidak terhad kepada golongan muda, sebaliknya boleh dimainkan golongan lebih berusia, termasuk dalam kalangan warga emas.
Seorang peserta antarabangsa di Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang 2024, Ong Cheng Her, 76, berkata, permainan layang-layang banyak memberi manfaat kesihatan.
Dia telah bermain layang-layang lebih 50 tahun kerana meminati permainan tersebut sejak usia muda.
“Saya telah menghadiri festival layang-layang di Pasir Gudang sejak kali pertama ia dianjurkan iaitu tahun 1995. Memang hampir setiap kali penganjurannya saya akan turut serta kerana lokasinya tidak jauh dari Singapura. Selain meluangkan masa dengan aktiviti kegemaran, bermain layang-layang ini juga dapat membantu kita menjaga kesihatan, khususnya semasa memastikan layang-layang terus kekal di udara.
“Selain di Pasir Gudang, saya juga telah menghadiri festival layang-layang lain termasuk di Indonesia, Thailand, Taiwan dan China,” katanya yang merupakan seorang pakar perubatan dan menetap di Jurong, Singapura.
PESERTA
Cheng Her adalah salah seorang daripada 139 peserta antarabangsa yang menyertai FLLSPG 2024 yang diadakan di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang sejak 24 Februari lalu hingga 3 Mac ini.
Seorang lagi peserta dari Singapura, Peter Lee, 61, pula memberitahu, FLLSPG 2024 merupakan festival layang-layang antarabangsa pertama yang disertainya setelah mula bermain layang-layang secara aktif sejak sembilan bulan lalu.
“Saya baru bermain layang-layang secara aktif tahun lalu, jadi pengalaman masih sedikit. Namun, saya akui layang-layang ini bukan permainan untuk kanak-kanak sahaja, tetapi juga individu dewasa.
“Di festival ini dapat saya lihat bagaimana peserta antarabangsa bertaraf profesional bermain layang-layang yang pelbagai, ini merupakan pengalaman baharu buat saya,” katanya.
Seorang lagi peserta antarabangsa, Kow Thim Mun, 58, pula berkata, bermain layang-layang adalah aktiviti yang sesuai dijalankan bersama-sama ahli keluarganya.
“Berbanding aktiviti lain, main layang-layang adalah lebih sihat dan baik untuk mengeratkan hubungan antara ahli keluarga kerana anak kecil dan ibu bapa yang sudah berusia masih boleh bermain sama-sama.
“Saya akan terus bermain layang-layang dan menyertai festival layang-layang di seluruh dunia selagi kesihatan mengizinkan,” katanya yang merupakan seorang mekanik. – UTUSAN










