PETALING JAYA: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mempersoalkan komitmen kerajaan dalam membanteras rasuah sistemik, susulan laporan terperinci Bloomberg mengenai dakwaan eksploitasi pekerja asing menerusi sistem Bestinet.
Kritikan itu dibuat selepas Bloomberg menyiarkan laporan bertajuk ‘Everyone Gets A Cut And Migrant Workers Pay The Price’ pada 23 Januari lalu yang meneliti dakwaan penindasan pekerja asing Bangladesh melalui sistem pengambilan yang diperkenalkan pada 2015.
Katanya, sistem itu pula diteruskan oleh kerajaan hari ini pada 2024, walaupun menerima pelbagai kritikan sebelum ini.
Latheefa mempersoalkan sikap berdiam diri kerajaan terhadap laporan tersebut yang mengandungi dakwaan serius melibatkan Malaysia dan pegawai kerajaan.
“Di mana semua laungan besar tentang memerangi rasuah, kartel dan seumpamanya? Ini adalah kisah yang menjijikkan mengenai eksploitasi pekerja asing, sedangkan golongan elit politik dan perniagaan terus meraih manfaat dan keuntungan.
“Jangan cuba menafikan, kita tahu perkara ini benar, penyalahgunaan sistem pengambilan pekerja asing di Malaysia sudah lama diketahui dan ia memalukan negara,” katanya menerusi hantaran di platform X hari ini.
Latheefa turut mempersoalkan keputusan Kabinet yang memperbaharui penggunaan sistem Bestinet pada 2024.
Beliau mendakwa, kerajaan menutup mata terhadap amalan pemerdagangan manusia dalam sistem pengambilan pekerja asing Bangladesh di Malaysia.
Laporan Bloomberg itu menumpukan kepada nasib pekerja Bangladesh yang didakwa terpaksa meminjam wang dalam jumlah besar untuk membayar yuran sindiket bagi membolehkan mereka bekerja di Malaysia.
Menurut laporan tersebut, pekerja Bangladesh didakwa membayar lebih dua kali ganda berbanding pekerja asing lain selepas Malaysia menggunakan sistem Bestinet. – UTUSAN










