JERANTUT: Siapa sangka, sebatang pokok durian kampung yang ditanam lebih 30 tahun lalu kini menjadi rebutan peminat raja buah kerana keunikannya yang beraroma dan rasa seakan kopi segera.
Pokok durian yang hanya terdapat di Kampung Damak di sini, mula mencuri perhatian sejak sedekad lalu apabila isi kekuningan gelapnya mempunyai rasa pahit manis, persis serbuk kopi segera.
Pemiliknya, Zulkifly Mahmud, 59, berkata, musim kali ini menghasilkan kira-kira 500 biji buah, namun permintaan luar biasa menyebabkan jualan mencecah hampir 600 kilogram (kg) dengan pulangan sekitar RM15,000.
“Pelanggan tetap sudah menempah lebih awal kerana mereka tahu musimnya singkat. Ada yang sanggup datang dari Lembah Klang dan Terengganu semata-mata untuk menikmati durian ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Zulkifly berkata, durian unik itu pada asalnya hanya baka kampung biasa, namun hasil cantuman tunas oleh bapanya, Mahmud Pak Adek dengan durian sangka, menghasilkan aroma dan rasa yang menyerupai kopi segera.
Katanya, buah itu bukan sahaja dijual di gerai hadapan rumahnya, malah turut dihantar kepada pemborong di Kuala Terengganu dan Lembah Klang kerana reputasinya sudah tersebar luas.
“Harga jualan RM25 sekilogram dianggap berbaloi kerana keunikan rasa dan aromanya tidak terdapat pada durian lain,” katanya.
Menurutnya, fenomena itu membuktikan bahawa baka kampung juga mampu menjadi tarikan komersial, malah memberi pulangan lumayan kepada pekebun kecil apabila dipasarkan dengan jenama dan cerita yang unik.










