GEORGE TOWN : Dua wanita tempatan kerugian kira-kira RM1.15 juta selepas masing-masing menjadi mangsa kepada satu sindiket penipuan pelaburan dalam talian dan penipuan melalui panggilan telefon dalam dua kejadian berasingan, bulan lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kes pertama melibatkan seorang wanita berusia 71 tahun yang mengalami kerugian sebanyak RM690,500 selepas terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian.
Beliau berkata, berdasarkan laporan polis yang diterima pada 29 Disember lalu, mangsa yang juga seorang perunding di sebuah syarikat swasta dikatakan tertarik dengan satu iklan pelaburan saham di aplikasi TikTok sebelum berhubung dengan seorang suspek wanita melalui Whatsapp.
Katanya, mangsa kemudian dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp serta diarah memuat turun satu aplikasi khas bagi tujuan pendaftaran dan pelaburan sebelum membuat 20 transaksi pemindahan wang ke empat akaun bank berbeza milik syarikat berlainan antara 10 November sehingga 23 Disember lalu.
“Mangsa akhirnya menyedari bahawa dirinya ditipu apabila gagal menerima sebarang pulangan, sebaliknya, diminta untuk membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan keuntungan yang kononnya telah diperoleh susulan pelaburan terbabit,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, Azizee berkata, kes kedua pula melibatkan seorang pesara sektor swasta berusia 58 tahun yang mengalami kerugian sebanyak RM462,000 akibat diperdaya oleh sindiket penipuan menerusi panggilan telefon selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa sebagai wakil syarikat Touch ‘n Go.
“Suspek lelaki itu kemudian menyambungkan panggilan berkenaan kepada suspek lain yang menyamar sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang serta Bukit Aman dan menuduh mangsa terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram serta pengedaran dadah.
“Mangsa seterusnya diarah memindahkan wang sebanyak RM460,000 daripada akaun simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke dalam akaun Maybank miliknya sebelum mengeluarkan RM230,000 dan menyerahkan wang itu bersama sekeping kad ATM kepada seorang individu yang menyamar sebagai wakil Bank Negara Malaysia (BNM).
“Mangsa bagaimanapun hanya menyedari bahawa dirinya ditipu selepas berbincang dengan ahli keluarga dan menyemak akaun bank miliknya yang telah ‘dilesapkan’,” katanya yang memaklumkan, kedua-dua kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.-UTUSAN










