Dua budak tujuh tahun lemas dalam kolam renang kondominium

Dua budak tujuh tahun lemas dalam kolam renang kondominium

ANUWAL AB WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Dua kanak-kanak berusia tujuh tahun iaitu seorang lelaki dan perempuan dilaporkan lemas selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kolam renang sebuah kondominium di Bayan Baru di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, kedua-dua mangsa yang dipercayai sepupu itu bagaimanapun sempat diselamatkan, namun, salah seorang daripada mereka kini berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 9 pagi.

Katanya, ketika kejadian, kedua-dua mangsa ditemani oleh ibu saudara mereka berdasarkan rakaman yang dibuat oleh kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu.

“Rakaman CCTV juga menunjukkan bahawa mereka (mangsa) telah berjalan dari kolam kanak-kanak menuju ke kolam dewasa sebelum ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam.

“Kedua-dua mangsa kemudian dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Bayan Baru bagi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya di sini, hari ini.

Jelas Anuwal, berdasarkan siasatan, pengadu iaitu ibu kepada salah seorang mangsa dan keluarganya menginap di sebuah homestay di kondominium itu sejak Jumaat lalu dan sepatutnya keluar pada hari ini.

“Kejadian itu pula berlaku di kolam renang tingkat 42 kondominium berkenaan dan ketika insiden itu berlaku, tiada petugas dilaporkan berada di lokasi ketika kejadian,” katanya yang memberitahu, mangsa yang telah sedar kini sedang menerima rawatan lanjut di wad kanak-kanak HPP.

“Siasatan lanjut bagaimanapun masih dijalankan bagi mengenal pasti terdapat sebarang unsur kecuaian atau salah laku dalam kejadian ini,” katanya yang menasihatkan orang ramai, khususnya ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau pergerakan kanak-kanak bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN