Cuaca dingin landa Pantai Timur, Kuala Krai catat 18 darjah Celsius - Utusan Malaysia

Cuaca dingin landa Pantai Timur, Kuala Krai catat 18 darjah Celsius

MOHD. Effi Rasli menunjukkan bacaan suhu 20 darjah Celsius di Kuala Krai, Kelantan yang menyamai Cameron Highlands, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Cuaca dingin yang dirasai di Terengganu dan Kelantan sehingga 18 darjah Celsius sejak Ahad lalu merupakan antara ciri-ciri Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang melanda negara, khususnya Pantai Timur.

Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, fenomena itu berkait rapat dengan kehadiran luruan sejuk yang berlaku semasa MTL.

Katanya, ketika MTL, angin timur laut yang berasal dari benua Siberia bergerak ke rantau ini.

“Angin ini pada asalnya bersifat sejuk dan kering, namun apabila melalui Laut China Selatan, ia menyerap wap air dari permukaan laut lalu menjadi lebih lembap. Angin ini dikenali sebagai luruan sejuk,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jing Xiang berkata, apabila luruan sejuk tiba di negara ini, ia meningkatkan tahap kelembapan udara, sekali gus menggalakkan pembentukan awan dan hujan serta mengehadkan pemanasan permukaan bumi oleh cahaya matahari.

“Pada masa sama, luruan sejuk ini turut memberi kesan penyejukan semula jadi, seumpama penyaman udara yang menyebabkan suhu persekitaran menjadi lebih dingin berbanding kebiasaan,” katanya.

Jing Xiang berkata, berdasarkan rekod suhu di Terengganu, cuaca lazimnya kembali kepada keadaan biasa sekitar Februari hingga Mac.

“Suhu maksimum purata pada waktu siang di Kuala Terengganu adalah sekitar 29.5 darjah Celsius, manakala di Kuantan, Pahang sekitar 30 darjah Celsius,” katanya.

Sementara itu, Kuala Krai di Kelantan mencatat suhu antara 18 hingga 21 darjah Celsius, sekali gus menyamai suasana di kawasan Cameron Highlands, Pahang.

Penduduk, Mohd. Effi Rasli, 42, berkata, perubahan cuaca itu mula dirasai oleh penduduk sejak Ahad lalu.

“Situasi ini menyebabkan penduduk memakai baju tebal untuk mengelakkan kesejukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN