PETALING JAYA: CIDB E-Construct Services Sdn. Bhd. (CIDB E-Construct) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Autodesk bagi menyokong penggunaan teknologi digital, pembangunan bakat serta transformasi industri dalam sektor pembinaan negara.
Kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama CIDB E-Construct dan Autodesk dalam memajukan sektor pembinaan negara melalui pendigitalan dan pembangunan keupayaan, selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI serta visi Al Malaysia 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif CIDB E-Construct, Sr. Nazir berkata, MoU itu melambangkan komitmen bersama dalam membentuk masa depan industri pembinaan Malaysia melalui pendigitalan, inovasi dan pembangunan bakat.
“Melalui kerjasama erat dengan Autodesk, kami berhasrat untuk membangunkan tenaga kerja yang celik digital, menggalakkan penggunaan Al dan teknologi digital secara praktikal.
“Kerjasama ini juga sekali gus akan memacu transformasi industri yang inklusif, berskala dan sejajar dengan keutamaan pembangunan negara,” katanya dalam kenyataan.
Di bawah memorandum persefahaman (MoU) itu, kolaborasi antara CIDB E-Construct dan Autodesk akan menumpukan kepada tiga bidang utama.
Pertama, menyokong pembangunan bakat dan tenaga kerja melalui program latihan bersepadu, aktiviti kesedaran pensijilan serta inisiatif peningkatan kemahiran bagi memperkukuh kecekapan digital dalam kalangan profesional pembinaan di Malaysia.
Kedua, menggalakkan kesedaran dan penggunaan teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI) dengan menilai rangka kerja, kes penggunaan praktikal dan projek perintis untuk menunjukkan bagaimana aliran kerja berasaskan digital dan AI boleh meningkatkan produktiviti, kualiti serta kelestarian.
Ketiga, mempromosikan transformasi digital industri dengan menilai peluang bagi mempamerkan aliran kerja digital bersepadu, penggunaan Common Data Environments (CDE) serta penglibatan peringkat eksekutif bagi berkongsi amalan terbaik dan menggalakkan penggunaan teknologi digital secara lebih meluas.
Naib Presiden APAC & Jepun, Autodesk, Haresh Khoobchandani berkata, kerjasama itu bertujuan membangunkan tenaga kerja bersedia masa hadapan yang mampu mengadaptasi aliran kerja digital dan berasaskan Al, seiring pelaksanaan mandat BIM oleh Kerajaan Malaysia.
“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan CIDB E-Construct dalam menyokong pembangunan kemahiran, pembinaan keupayaan digital dan transformasi jangka panjang industri pembinaan Malaysia.
“Bersama-sama, kami akan mempamerkan bagaimana teknologi dapat meningkatkan produktiviti, kualiti dan kelestarian, di samping menggalakkan penerimagunaan digital yang lebih meluas dalam industri,” ujarnya.
Majlis menandatangani MoU tersebut telah dilaksanakan dengan kehadiran Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan. – UTUSAN










