KUALA LUMPUR: Pelakon, Kamal Adli menyifatkan keputusan melafazkan cerai terhadap bekas isterinya, Uqasha Senrose hari ini sebagai momen paling gelap dalam hidupnya.
Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, bagaimanapun reda dengan keputusan tersebut dengan harapan masih terbuka ruang untuk mereka berbaik semula pada masa hadapan.
“Sumpah demi Allah, saya tak nak lepaskan.
“Tetapi saya kena lepaskan kerana dengan cara itu saya masih boleh dapat ruang dan peluang untuk rujuk kembali,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini.
Pelakon Dia Imamku itu juga turut mengakui tidak kuat secara emosi ketika diminta melafazkan perceraian terhadap bekas isterinya pada pukul 12.56 tengah hari tadi di hadapan Hakim Syarie, Siti Noraini Mohd Ali, pada Isnin.
“Saya tak nak jawab dan tak boleh bercakap. Saya tak mampu nak lafaz pun.
“Hari ini paling tak indah dalam hidup saya. Saya memang tak kuat, saya tak kuat nak bercakap dengan semua orang.
“Saya tak nak (bercerai). Kalau tanya saya, memang saya tak nak,” katanya sambil menahan sebak.
Sementara itu, peguam yang mewakili Kamal, Abdul Hadi Mohamad Salleh berkata, tidak menafikan harapan sekiranya pasangan tersebut mahu rujuk kembali pada masa hadapan.
“Hari ini mereka sah bercerai pada jam 12.56 tengah hari dengan talak raj’ie atas kebenaran mahkamah di hadapan hakim.
“Kamal masih berharap. Kalau kita berada di tempat beliau, memang ada harapan itu.
“Oleh sebab perceraian ini adalah talak raj’ie, iaitu cerai yang boleh dirujuk, maka dalam tempoh idah ini Kamal masih boleh berharap dan berusaha sekiranya masih ada jodoh antara mereka berdua,” katanya.
Terdahulu, Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira. -UTUSAN










