SEPANG: Oriental Kopi Holdings Bhd (Oriental Kopi), pengendali rangkaian kafe makanan dan minuman terkemuka melancarkan cawangan terbaharunya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini.
Pengerusinya, Tengku Datuk Dr. Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj berkata, kehadiran Oriental Kopi di KLIA Terminal 1 penting bagi menyokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Beliau berkata, KLIA 1 adalah pintu masuk utama Malaysia yang menyambut jutaan pelancong dari seluruh dunia setiap tahun.
“Kehadiran Oriental Kopi di lokasi strategik ini membolehkan pelancong merasai cita rasa Malaysia sebaik sahaja tiba, serta membawa pulang pengalaman tersebut sebagai kenangan.
“Budaya kopitiam telah lama berakar sebagai identiti tempatan yang mencerminkan perpaduan dalam kepelbagaian, apabila pelbagai komuniti berkongsi meja dan rasa di bawah satu bumbung.
“Melalui Oriental Kopi, semangat ini diterjemahkan di KLIA 1 pada skala global, apabila pelancong dari seluruh dunia menikmati hidangan ikonik Malaysia seperti Nasi Lemak, Kari Laksa dan Char Kuey Teow, menjadikan makanan sebagai medium untuk berkongsi Truly Malaysian Taste dengan dunia,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan rasmi Orientak Kopi di KLIA, di sini hari ini yang disempurnakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Katanya, di cawangan ini, Oriental Kopi turut menawarkan produk cenderamata makanan seperti kopi putih, kaya dan sambal nasi lemak, yang dipilih khusus sebagai wakil cita rasa autentik Malaysia dan sesuai dibawa pulang oleh pelancong.
Tengku Hishammuddin berkata, Oriental Kopi telah membina jenama kukuh melalui komitmen terhadap kualiti dan keaslian di samping digemari rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang serta semakin dikenali dalam kalangan pelancong antarabangsa.
Menurutnya, lebih daripada sekadar sebuah restoran, Oriental Kopi membawa peranan sebagai wakil budaya makanan Malaysia.
“Dengan pematuhan prinsip halal dan penekanan terhadap pengalaman yang berkualiti, kami berhasrat untuk membawa cita rasa tempatan ke peringkat antarabangsa selaras dengan visi ‘Advancing with Oriental Kopi, Toward the World’,” katanya. – UTUSAN










