GEORGE TOWN: Penggunaan glifosat dan semua racun herba berasaskan bahan itu di negara ini perlu diharamkan kerana ia menimbulkan risiko serius kepada kesihatan manusia dan memberi impak negatif terhadap alam sekitar.
Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, kajian bebas mendapati pendedahan glifosat berkait rapat dengan pelbagai masalah kesihatan seperti Limfoma Hodgkin, genotoksisiti, gangguan endokrin, tekanan oksidatif, dan kerosakan hati serta buah pinggang.
Lebih membimbangkan apabila Malaysia meluluskan lebih 20 jenis makanan ubah suai genetik (GM) tahan glifosat untuk diimport, termasuk produk soya.
“Ujian terhadap kacang soya di Sarawak mendapati 57 daripada 65 sampel positif mengandungi gen rintangan glifosat, termasuk dalam tauhu, tempe, makanan haiwan dan kacang soya mentah,” katanya di sini semalam.
Gesaan Mohideen diterjemahkan dalam memorandum yang dihantar kepada Perdana Menteri, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Jabatan Biokeselamatan Malaysia, serta ahli Lembaga Racun Makhluk Perosak, 14 Januari lalu.
Memorandum itu mendesak pengharaman penuh glifosat dan penilaian semula kelulusan import makanan GM tahan glifosat.
Penggunaan glifosat selama ini banyak bergantung kepada penilaian keselamatan antarabangsa yang kini didedahkan mempunyai konflik kepentingan dan manipulasi data saintifik.
Mohideen berkata, laporan yang menjadi rujukan pengawal selia di seluruh dunia itu, ditarik balik pada Disember 2025, sekali gus menjejaskan kredibiliti kelulusan glifosat di Malaysia.
Katanya bahaya glifosat bukan perkara baharu kerana memorandum serupa pernah dikemukakan pada 2020, namun racun herba ini masih digunakan secara meluas.
“Selain risiko kesihatan, glifosat merosakkan kesuburan tanah, membahayakan pendebunga dan amfibia, mencemarkan sumber air, serta menghakis biodiversiti.
“Kami menggesa kerajaan menguatkuasakan pengharaman penuh glifosat, membatalkan kelulusan import makanan GM tahan glifosat dan menggalakkan pertanian selamat serta lestari demi kepentingan generasi akan datang,” katanya. – UTUSAN










