Bursa Malaysia dijangka capai 1,800 mata Jumaat ini - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia dijangka capai 1,800 mata Jumaat ini

INDEKS FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 27.18 mata atau 1.56 peratus untuk ditutup pada 1,771 mata, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka mencapai 1,800 mata pada penutup Jumaat ini disokong minat belian dalam kalangan pelabur institusi serta pelabur runcit dengan sektor perbankan menjadi tumpuan minggu ini.

Semalam, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 27.18 mata atau 1.56 peratus untuk ditutup pada 1,771 mata.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, jangkaan itu mampu dicapai sekiranya aktiviti belian oleh pelabur institusi berterusan sepanjang minggu ini.

Menurutnya, sentimen pasaran dilihat semakin positif dengan keadaan semasa dianggap masa yang sesuai untuk pelabur membuat pembelian secara pukal selepas tempoh dagangan yang sebelum ini agak mendatar.

“Bagaimanapun, kenaikan berterusan dijangka bersifat sementara berikutan sebahagian pelabur dijangka mengambil peluang untuk merealisasikan keuntungan dalam tempoh terdekat.

“Pada masa sama, sentimen berhati-hati masih menyelubungi pasaran apabila pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat terhadap perkembangan konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, ketegangan geopolitik itu juga dibimbangi boleh menjejaskan momentum pemulihan pasaran yang baru menunjukkan tanda-tanda kembali rancak.

Jelasnya, sejak awal tahun ini, prestasi pasaran saham tempatan menunjukkan peningkatan memberangsangkan, didorong minat belian konsisten daripada pelabur runcit dan institusi.

“Pasaran yang sebelum ini bergerak mendatar dan ramai pelabur terperangkap belian terdahulu.

“Justeru, kenaikan semasa sekurang-kurangnya memberi ruang kepada mereka untuk menjual saham bagi meraih keuntungan atau mengurangkan kerugian sebelum beralih kepada kaunter lain yang lebih berpotensi,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Profesor Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, dalam jangka terdekat, pasaran dijangka bergerak secara berhati-hati tetapi kekal positif dengan potensi untuk menguji paras rintangan seterusnya sekiranya momentum belian berterusan.

“Bagaimanapun, pergerakan akan dipengaruhi oleh beberapa faktor utama, termasuk perkembangan pasaran global, data inflasi dan kadar faedah, serta prestasi pendapatan syarikat bagi suku semasa.

“Jika sentimen luaran kekal stabil dan faktor domestik terus menyokong, trend menaik ini berpotensi untuk dikekalkan, walaupun dengan pembetulan kecil sebagai proses penstabilan pasaran,” ujarnya.

Beliau berkata, prestasi pasaran saham tempatan setakat ini boleh dianggap sebagai satu isyarat keyakinan pasaran yang kukuh, khususnya selepas tempoh turun naik sebelum ini.

“Paras tersebut bukan sahaja bersifat psikologi, malah mencerminkan sentimen pelabur yang semakin positif terhadap prospek ekonomi domestik dan kestabilan dasar semasa.

“Kenaikan ini menunjukkan minat belian yang konsisten, terutamanya daripada pelabur institusi,” katanya.

Tambahnya, pendorong kepada prestasi yang baik itu antaranya disebabkan aliran masuk dana institusi, termasuk minat pelabur asing yang kembali mengambil posisi dalam pasaran tempatan.

“Ia juga didorong oleh prestasi kukuh sektor berwajaran tinggi seperti perbankan, utiliti dan pembinaan yang disokong oleh jangkaan projek infrastruktur serta pendapatan korporat yang stabil.

“Selain itu, sentimen global yang lebih menyokong, termasuk jangkaan dasar kadar faedah global yang lebih longgar serta pengukuhan mata wang serantau yang meningkatkan selera risiko pelabur turut memberi sumbangan kepada pengukuhan itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN