KUALA LUMPUR: Penyanyi legenda, Datuk Awie menegaskan beliau tidak akan melibatkan anaknya, Ahmad Merrah, untuk membuat persembahan secara langsung bersama kumpulan Wings.
Menurut Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 57, meskipun penampilan duet Merrah bersama Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza baru-baru ini menerima pujian ramai, beliau berpendirian anaknya itu perlu membina laluan kerjaya sendiri tanpa bergantung kepada popularitinya.
“Lebih baik Merrah belajar dan mencari peluang sendiri. Untuk saya mengetengahkan dia di pentas Wings, perkara itu tidak akan berlaku kecuali sekadar berada di belakang sebagai penyanyi latar.
“Jika saya membawa dia menyanyi di pentas, nanti akan timbul tanggapan ini bisnes keluarga, sedangkan Wings bukan sebuah perniagaan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Wings Orang Kita, baru-baru ini.
Awie menambah, keputusan tersebut dibuat bagi mengelakkan sebarang salah faham serta kemungkinan timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan pihak tertentu.
“Biarlah begini. Saya tidak mahu membuka ruang untuk perkara ini dijadikan bahan tohmahan. Jangan biarkan setitik isu menjadi sebelanga masalah.
“Tambahan pula, ini zaman orang mudah menghentam secara percuma. Berani di sebalik telefon bimbit, tetapi apabila berdepan, lain pula jadinya,” ujarnya.
Bagaimanapun, Awie menegaskan beliau tetap memberi sokongan penuh terhadap kerjaya seni Merrah.
Terdahulu, Ahmad Merrah mencuri perhatian ramai apabila tampil berduet dengan Siti Nurhaliza menerusi lagu Senja Nan Merah, sekali gus mencetuskan perbincangan mengenai bakat dan masa depan anak penyanyi rock itu dalam industri seni tanah air. -UTUSAN










