PETALING JAYA: Mana-mana pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang didapati terlibat dengan dakwaan kemasukan individu tidak berkaitan serta aktiviti tidak bermoral dalam kem akan berdepan tindakan tegas termasuk diberhentikan daripada perkhidmatan.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan tiada kompromi terhadap isu melibatkan integriti pegawai dan anggota TUDM.
“Saya selaku Panglima Tentera Udara dan pimpinan berasa kesal dan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku dan pelanggaran disiplin. Tindakan tegas akan diambil selaras dengan peraturan dan perkhidmatan demi memelihara imej, maruah dan profesionalisme TUDM
“Ini termasuk diberhentikan daripada perkhidmatan sekiranya bersalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kementerian Pertahanan mengarahkan siasatan dalaman bagi menentukan kesahihan dakwaan yang tular di media sosial.
Dakwaan tersebut berdasarkan video dan gambar memaparkan wanita berpakaian seksi digelar ‘Yeye’ dibawa masuk ke pangkalan tentera dan duduk di bar dipercayai di mes pegawai.
Muhamad Norazlan berkata, sebarang aktiviti tidak bermoral yang dilakukan dalam pangkalan adalah dilarang kerana ia mencemarkan imej dan maruah TUDM. – UTUSAN










