Bilik darjah tambahan konsep IBS tampung murid Tahun Satu - Utusan Malaysia

Bilik darjah tambahan konsep IBS tampung murid Tahun Satu

WONG Kah Woh (kiri) melawat Sekolah Menengah Yuk Choi, Ipoh hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Projek pembinaan bilik darjah tambahan berkonsepkan Sistem Binaan Berindustri (IBS) akan dilaksanakan bagi mengatasi kekurangan bilik darjah susulan pelaksanaan dasar kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun mulai 2027.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kaedah IBS itu lebih menjimatkan masa berbanding pembinaan secara konvensional yang lazimnya mengambil masa antara dua hingga tiga tahun.

“Selain daripada isu ketersediaan guru, KPM juga sedang meneliti sekolah-sekolah yang mungkin menghadapi isu fasiliti termasuk kekurangan bilik darjah.

“Perkara ini adalah penting untuk kita kenal pasti kerana bukan semua sekolah adalah sekolah padat dan tidak mampu menampung murid. Ada banyak sekolah yang masih ada ruang lagi dan itu tidak jadi masalah.

“Namun untuk sekolah yang tidak ada ruang, maka KPM akan mengambil pendekatan untuk membina bilik darjah tambahan dengan cara IBS,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Sekolah Menengah Yuk Choi, di sini hari ini.

Menurut beliau, pembinaan menggunakan kaedah IBS bukanlah perkara baharu kerana ia telah dilaksanakan di sekolah-sekolah padat seperti di Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya.

“Pembinaan menggunakan IBS berbeza dengan kaedah konvensional kerana pembinaan sebuah bangunan yang menempatkan enam hingga 12 bilik darjah secara konvensional lazimnya mengambil masa antara dua hingga tiga tahun untuk disiapkan berbanding sekitar empat hingga lima bulan menggunakan kaedah IBS,” katanya.

Tambah beliau, KPM sedang meneliti keperluan setiap sekolah dan akan mengambil tindakan sewajarnya selepas menerima data yang diperlukan.

“Sejak pengumuman dasar kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun Satu, KPM telah melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan sekolah dan guru bersedia pada tahun hadapan.

“Langkah itu bukan sahaja untuk menampung murid Tahun Satu berusia enam tahun, tetapi juga bagi mereka yang akan memasuki Tahun Satu pada usia tujuh tahun,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilapor berkata, kos anggaran pembinaan sebuah bilik darjah menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, iaitu sehingga sekali ganda berbanding lima tahun sebelumnya.

Menurut beliau, kos pembinaan sebuah bilik darjah antara 2016 hingga 2020 dianggarkan antara RM180,000 hingga RM250,000, manakala kos bagi tempoh 2021 hingga 2026 meningkat kepada RM280,000 hingga RM520,000.

Anggaran tersebut hanya meliputi kos blok bangunan iaitu bilik darjah, tangga, koridor dan tandas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN