Bilik darjah SK Bukit Gasing ‘dikuasai’ oleh teknologi AI

Bilik darjah SK Bukit Gasing ‘dikuasai’ oleh teknologi AI

PENGGUNAAN teknologi AI menjadikan suasana pembelajaran bilik darjah SK Bukit Gasing, Marang Terengganu lebih selesa dan interaktif-UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kaedah pembelajaran digital kini mengubah landskap pendidikan apabila pengajaran tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pendekatan tradisional chalk and talk, sebaliknya memberi ruang kepada murid meneroka pembelajaran secara kendiri, kreatif dan interaktif melalui penggunaan teknologi.

Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gasing, (kategori sekolah luar bandar) baru-baru ini dipilih sebagai antara 12 sekolah rintis di seluruh negara bagi pelaksanaan projek di bawah kelolaan Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan dengan kerjasama beberapa agensi melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gasing, pendekatan tersebut diterjemahkan melalui penggunaan peranti digital seperti iPad, aplikasi interaktif, penghasilan projek, rakaman video serta pembentangan digital yang menjadikan suasana pembelajaran lebih fleksibel dan menyeronokkan, termasuk bagi murid di kawasan luar bandar.

Program dikenali sebagai ‘Bilik Darjah Dikuasakan oleh Kecerdasan Buatan’ (AI Powered Classroom) itu dijangka memberi manfaat kepada 508 murid dan 38 guru sekolah berkenaan.

Guru Besar SK Bukit Gasing, Amir Hamzah berkata, murid di sekolah itu mendapat pendedahan berkaitan pembelajaran digital sejak tahun 2020 lagi melalui program Cerdik – Celik Digital Reformasi Digital Inisiatif kementerian oleh Yayasan Amir.

Menurutnya, dalam program itu, murid sekolah itu dibimbing untuk mengenali kaedah pembelajaran yang lebih moden dengan penggunaan alat bantu seperti iPad. “Kesinambungan program itu, pada tahun lalu, sekolah ini terpilih sebagai sekolah rintis untuk program bilik darjah berasaskan Kecerdasan Buatan (AI).

“Untuk makluman, murid kita pernah mendapat johan pertandingan Digital Story Telling Animation di peringkat negeri dan tempat keempat peringkat kebangsaan tahun lalu,” katanya kepada Utusan Pelajar baru-baru ini.

Amir berkata, penggunaan AI dalam kalangan murid sekolah memberikan impak positif, namun memerlukan bimbingan guru supaya mereka tidak menyalahgunakan aplikasi moden itu dengan menghasilkan sesuatu yang negatif.

“Kita perlu terapkan satu bentuk nilai dan etika penggunaan AI supaya dapat menghasilkan sesuatu yang bermanfaat.
“Ia juga mampu mencungkil bakat dan kreativiti murid dalam menterjemah jalan cerita sebelum AI digunakan,” katanya.

Sementara itu, Ikon Guru Digital Kebangsaan 2024, yang juga Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK Bukit Gasing , El Gamillo Habibun Tan berkata, pendekatan pembelajaran digital menjadikan peranan guru lebih kepada fasilitator dan pembimbing, bukan sekadar penyampai ilmu.

“Sebagai guru, kami membimbing murid meneroka ilmu sendiri. Kaedah ini menjadikan pembelajaran lebih kreatif, interaktif dan murid lebih seronok berada di dalam kelas,” katanya.

El Gamillo berkata, penggunaan iPad dalam bilik darjah meningkatkan minat murid terhadap pembelajaran, sekali gus memberi kesan positif kepada kehadiran mereka ke sekolah.

“Murid belajar secara visual, sentuhan dan eksperimen. Mereka lebih mudah memahami konsep, berani bertanya serta mampu menghasilkan tugasan kreatif seperti video, buku digital interaktif dan pembentangan,” katanya.

Tambahnya, tahap penglibatan murid yang lebih tinggi turut memberi impak positif terhadap pencapaian akademik, termasuk peningkatan keputusan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

“Kesan penggunaan pembelajaran digital ini jelas apabila murid SK Bukit Gasing turut mencapai pelbagai kejayaan dalam pertandingan berkaitan digital di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan,” katanya.

El Gamillo berkata, pihak sekolah membelanjakan kira-kira RM3,000 bagi kerja pengubahsuaian bilik darjah, tidak termasuk peralatan yang akan disumbangkan melalui tanggungjawab sosial (CSR) antaranya 30 unit iPad baharu oleh Switch Malaysia serta sistem Pembelajaran Pengurusan Berasaskan AI (LMS) Ace-IT oleh Sasbadi.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat beberapa cabaran utama dalam pelaksanaan pembelajaran digital, antaranya kekangan peranti, capaian internet yang terhad serta perbezaan tahap kemahiran digital dalam kalangan guru.

“Tidak semua murid mempunyai peranti sendiri dan ada yang menghadapi masalah kuota internet. Selain itu, pengurusan kelas digital memerlukan perancangan rapi supaya murid kekal fokus kepada pembelajaran dan bukan sekadar hiburan,” katanya.

Mengulas peranan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan, El Gamillo berkata, teknologi itu mampu membantu guru menjimatkan masa dalam penyediaan bahan pengajaran, analisis prestasi murid serta pelaksanaan pembelajaran berbeza aras.

“Namun, peranan guru sebagai pembimbing sahsiah, nilai, emosi dan kemanusiaan tidak boleh digantikan. AI hanyalah alat sokongan, bukan pengganti guru,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital yang dilancarkan pada 2023 sebagai langkah tepat, namun perlu terus diperkukuhkan.

“Latihan berterusan kepada guru, pembangunan modul AI dalam kurikulum, penambahbaikan pedagogi serta penyediaan infrastruktur digital yang stabil amat penting.

“Selain itu, garis panduan penggunaan AI yang jelas dan beretika di sekolah juga sangat diperlukan,” katanya. –UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN