PERKEMBANGAN teknologi hari ini menyaksikan penciptaan ratusan aplikasi suntingan video dan gambar yang digunakan untuk menyelesaikan pelbagai masalah dan urursan.
Apa yang membimbangkan adalah apabila aplikasi-aplikasi ini disalah guna. Hari ini, kita menyaksikan betapa mudahnya satu-satu gambar atau video itu disunting sehingga mengelirukan ramai pihak.
Pelakon, Mira Filzah, 32, tidak terkecuali menjadi mangsa kejahatan pelaku yang tidak bertanggungjawab ini.
Dalam temu bual baru-baru ini, Mira mendedahkan pernah membuat laporan kepada pihak berwajib selepas mendapat tahu gambarnya disunting sehingga bertukar menjadi kandungan yang tidak bermoral.
“Saya pasti ramai yang pernah menyaksikan gambar saya itu, yang disunting menjadi tidak senonoh.
“Pertama sekali saya tidak nafikan yang kegiatan seperti ini amat sukar untuk dibendung. Malah ianya terus bermaharajalela meskipun banyak laporan mengenainya telah difailkan.
“Tetapi itu bukan menjadi alasan untuk kita berdiam diri atau membiarkan sahaja kegiatan berkenaan berterusan,” katanya yang ditemui sempena tayangan filem Akad Yang Hilang, baru-baru ini.
Memilih untuk bertindak, ibu seorang cahaya mata ini berkata dia telah memfailkan laporan kepada pihak berkuasa tentang kes berkenaan.
“Ada saluran yang saya gunakan untuk menangganinya. Tapi saya tidaklah bercerita kepada umum. Bagi saya, tak perlu untuk saya mengwar-warkan laporan yang dibuat kerana tindakan itu hanya akan memperbesarkan keadaan.
“Kita tidak boleh berdiam, tapi kena bertindak lkut kemampuan masing-masing.
“Tapi susulan itu, penting untuk saya gunakan pengaruh sebagai seorang selebriti untuk mengajak peminat saya agar cakna dengan kandungan-kandungan palsu di internet atau media sosial selain menasihatkan mereka supaya memilih perkongsian yang sahih sahaja.
“Penting untuk kita saling mengingatkan perkara ini kepada umum kerana walaupun mereka tahu gambar atau video yang mereka tonton itu palsu, ada juga yang memilih untuk percaya,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Mira menyarankan mangsa yang melalui pengalaman yang sama, sama ada selebriti ataupun masyarakat umum, segera mengambil tindakan sekiranya gambar atau video milik mereka disunting dan disalah guna, atau diambil tanpa kebenaran.
“Kita ambil tindakan supaya ia tidak berulang selain memberi pengajaran kepada pelaku berkenaan.
“Kita hidup pada zaman yang sangat mencabar ditambah pula dengan kewujudan pelbagai aplikasi yang kalau disalah guna boleh mendatangkan kemudaratan dan kerosakan. Jadi selagi boleh, bertindaklah. Jangan diamkan perkara ini,” katanya.
SELEKTIF MEMILIH KAWAN
Banyak perkara yang ingin dicapai Mira Filzah pada tahun ini. Selain bekerja lebih keras untuk mencapai sasaran yang ditetapkannya, dia juga berharap dapat menjadi insan yang lebih baik di masa akan datang.
“Kerana itu kita perlu memilih untuk bersama dengan kelompok yang supaya kita juga dapat menjadi individu yang lebih baik.
“Saya sedar, semakin kita berusia, kelompok sekeliling kita juga menjadi semakin kecil. Jadi, kita ada pilihan dengan orang macam mana yang kita nak jadikan kawan,” jelasnya. – UTUSAN










