PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) walaupun telah melepaskan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Menurut Muhyiddin, Bersatu kekal sebagai rakan berprinsip, konsisten dan setia dalam PN walaupun beliau tidak lagi menjadi Pengerusi dengan kerjasama itu terus dipelihara demi kestabilan serta kekuatan gabungan.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya masih menerajui kepemimpinan Bersatu sebagai Presiden. Walaupun saya tidak lagi memimpin Perikatan Nasional, Bersatu kekal sebagai rakan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam PN, dan kerjasama ini akan terus dipelihara demi kestabilan serta kekuatan gabungan.
“Dalam menghadapi cabaran semasa, keutamaan kita adalah untuk memastikan kelangsungan, kekuatan dan masa depan parti,” katanya dalam kenyataan.
Muhyiddin melepaskan jawatan Pengerusi PN bermula semalam dan tindakan beliau diikuti beberapa pemimpin Bersatu termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN.
Hubungan Pas dan Bersatu dalam PN bergelora ekoran tindakan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis menarik sokongan kepada ADUN Sanglang, Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.
Mohd. Shukri kemudian meletakkan jawatan sekali gus menyebabkan Pengerusi Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah dilantik mengetuai kerajaan negeri Perlis.
Menurut Muhyiddin, ada ketikanya perlu mengambil satu langkah ke belakang, bukan sebagai tanda kelemahan tetapi sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan asas.
“Sempena Tahun Baharu 2025 ini, saya menyeru seluruh ahli Bersatu agar memperkukuh kerjasama, memperteguh perpaduan dan menutup rapat segala ruang perpecahan dalam parti,” katanya. – UTUSAN










