PUTRAJAYA: Bekas Panglima Tentera Darat ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan tender perolehan Tentera Darat.
Manakala dua isterinya pula iaitu isteri pertama ditahan reman selama tiga hari dan isteri kedua pula direman selama enam hari.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret, Ezrene Zakariah selepas permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Dalam hujahannya di mahkamah, Pegawai Penyiasat (IO) SPRM memohon perintah reman terhadap suspek utama bagi tempoh tujuh hari atas alasan siasatan melibatkan dakwaan penerimaan wang rasuah secara terancang, yang dipercayai melibatkan rangkaian rasuah lebih luas serta kemungkinan penglibatan beberapa pegawai lain.
Permohonan reman turut dibuat bagi membolehkan pihak SPRM menjalankan siasatan lanjut termasuk meneliti dan merujuk sejumlah besar dokumen berkaitan perolehan, mengesan individu-individu lain yang dipercayai terlibat.
Ini termasuk mengesan aset serta proksi yang disyaki digunakan, selain menghalang sebarang kemungkinan suspek menghubungi saksi-saksi lain atau mengganggu serta memusnahkan bahan bukti yang masih belum diperoleh sepenuhnya.
Menurut SPRM, kesemua suspek yang berusia antara 20 hingga 50-an telah ditahan kira-kira pukul 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tersebut dan menegaskan orang ramai diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
Terdahulu, bekas Panglima Tentera Darat dan dua isterinya tiba di Kompleks Mahkamah Putrajaya kira-kira pukul 10.02 pagi tadi bagi proses permohonan reman bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan tender perolehan Tentera Darat.
Bekas pegawai kanan tentera dan dua isterinya itu dilihat memakai baju tahanan lokap SPRM berwarna oren serta bergari. – UTUSAN










