KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir menolak dakwaan beliau sengaja mengabaikan panggilan telefon dan mesej daripada ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman.
Namun, beliau mengakui tidak dapat memastikan sama ada pernah tidak menjawab panggilan daripada Aliff, khususnya ketika berada di luar kawasan liputan.
“Dia (Aliff Syukri) dakwa saya terhegeh-hegeh (semasa pinjam duit)? Umur saya 86 tahun manakala dia 30-an. Saya telah membina ramai jutawan selama 30 tahun sebagai Ahli Parlimen, saya juga membantu ramai orang semasa bersama UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguam belanya, Ravichandaran Selliah pada prosiding perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan terhadap Aliff Syukri.
Bekas veteran UMNO itu turut mengakui akibat hantaran yang dimuat naik oleh defendan mendatangkan impak negatif terhadap dirinya serta ahli keluarga.
Perbicaraan di hadapan Hakim Roslan Mat Nor di Mahkamah Tinggi bersambung lagi esok.
Pada 6 September 2023, Abdul Kadir, 86, memfailkan saman RM70 juta terhadap Aliff Syukri sebagai defendan kerana mengeluarkan kenyataan fitnah dalam Instagram dan Facebook pada 2 Julai tahun sama.
Beliau yang juga bekas Menteri Penerangan mendakwa kenyataan itu membawa maksud antaranya plaintif berhutang dengan defendan jutaan ringgit, selain gambar plaintif diletakkan pada kenyataan yang mengundang komen negatif daripada pembaca.
Selain tuntutan RM70 juta, bekas menteri itu meminta ganti rugi yang dinilai mahkamah dan perintah supaya defendan memberi aku janji bertulis tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif serta permohonan maaf tanpa syarat disiarkan di akaun media sosial usahawan terbabit selama tujuh hari.
Aliff Syukri menerusi pernyataan pembelaan pula mendakwa membuat bayaran pelaburan RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usaha sama bertarikh 26 November 2018 membabitkan plaintif, defendan serta dua syarikat. – UTUSAN










