Bekas isteri Nubhan buat laporan polis

Bekas isteri Nubhan buat laporan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas isteri penyanyi Nubhan, Dr. Afifah Hidayah membuat laporan polis susulan kes perpindahan barang peribadi tanpa notis, baru-baru ini.

Laporan dibuat di Balai Polis Seremban 2, Negeri Sembilan selepas kediaman di Senawang yang turut didiami dia dan anak-anaknya dimasuki tanpa kebenaran.

“Laporan polis dibuat atas nasihat peguam. Nubhan boleh kemukakan alasan kononnya saya maklum yang rumah itu perlu dikosongkan. Tapi kenapa dia tidak sertakan bukti mengandungi tarikh dan hitam putih?

“Saya berhak mendiami rumah itu sehingga isu harta sepencarian kami diputuskan mahkamah. Peguam saya, Datuk Akberdin lebih arif mengenai isu ini, saya serahkan semuanya kepada beliau untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Terdahulu, Akberdin mengesahkan satu tindakan sivil telah difailkan terhadap Nubhan berikutan kejadian pecah masuk kediaman selain peralihan barang-barang milik Dr Afifah yang ketika kejadian, berada di luar negara.

Insiden tersebut berlaku selepas beberapa bulan pasangan itu secara rasmi bercerai sekitar Ogos lepas.

Tindakan Nubhan yang didakwa mengeluarkan barangan peribadi serta menukar kunci kediaman ketika bekas isterinya itu berada di luar negara disifatkan melanggar undang-undang.

Ibu tiga cahaya mata itu memaklumkan buat masa ini dia hanya mahu membesarkan anak dan bekerja keras mencari rezeki untuk menyara keluarga.

Katanya, Alasan yang diberikan Nubhan didakwa hanya untuk ‘menghalalkan’ tindakannya terhadap bekas isteri serta tiga anak mereka.

“Cakaplah apa sahaja, dia nak tinggal di situ semula atau dah maklumkan saya patut keluar (rumah), itu semua nak sedapkan hati sendiri.

“Lebih mudah jika dia berbincang dengan peguamnya dan peguam saya andai dia ingin kembali tinggal di rumah tersebut, bukan dengan cara atau tindakan tidak masuk akal yang dilakukan tempoh hari.

“Ini juga bukan isu tamat idah atau rumah itu didaftarkan atas namanya seorang. Orang yang tak faham maksud harta sepencarian boleh berkata apa sahaja. Saya akan tetap perjuangkan hak anak-anak,” katanya.

Afifah kini tinggal di rumah orang tuanya dan dibantu ahli keluarga memunggah kotak serta bungkusan plastik berisi pakaian yang dilonggokkan Nubhan di rumah ibu bapanya.

“Ambil masa untuk susun dan pilih barang sebab semua bercampur. Kalau kemas sendiri kita tahu nak dibungkus dan dibuang,” katanya.

Untuk rekod, Nubhan dan Dr Afifah mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille, 3. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN