PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Erra Fazira membuat kejutan istimewa sempena ulang tahun kelahiran suaminya, usahawan Ezwan Zain, ketika berada di Tanah Suci, Mekah.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik di media sosial, Erra atau Fazira Wan Chek, 51, dilihat membawakan sebiji kek bertulis ‘Sanah Helwah Ezwan Zain’ sambil menyanyikan lagu selamat hari lahir buat suami tercinta.
“Kami memang rancang untuk dapatkan kek tanpa lilin. Panjang umur, murah rezeki, dikurniakan kesihatan yang baik dan menjadi suami yang baik,” katanyan dalam video berdurasi kurang 30 saat itu.
Menurut Erra, sambutan ringkas namun penuh makna itu menjadi satu kenangan istimewa memandangkan ia diraikan di tempat paling mulia bagi umat Islam.
“Menyambut hari lahir di Tanah Suci terasa begitu berbeza. Kedamaian di setiap penjuru menjadikan momen ini lebih sempurna. Semoga awak sentiasa menjadi yang terindah hingga ke nafas terakhir.
“Selamat ulang tahun suamiku,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Sementara itu, Ezwan yang lebih mesra disapa Mr E menyifatkan kejutan berkenaan sebagai hadiah ulang tahun paling bermakna dalam hidupnya.
“Terima kasih isteri tersayang kerana memberikan hadiah paling bermakna. Menyambut ulang tahun di Tanah Suci dan berpeluang mengerjakan umrah bersama.
“Alhamdulillah, terima kasih juga atas ucapan dan doa daripada semua. Semoga kita sentiasa dilimpahi kebahagiaan,” katanya.
Terdahulu, Erra dan Ezwan selamat bergelar suami isteri dengan sekali lafaz dalam majlis akad nikah yang berlangsung di Subang, Selangor pada 12 Disember lalu. -UTUSAN










