SUBANG JAYA: Bank Rakyat menyalurkan sumbangan baucar barangan kelengkapan sekolah bernilai keseluruhan RM147,000 kepada 1,470 pelajar daripada golongan berpendapatan rendah (B40) yang bakal memulakan sesi persekolahan.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, setiap pelajar menerima sumbangan baucar bernilai RM100 dan inisiatif itu bertepatan aspirasi bank untuk memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat merentasi pelbagai peringkat usia dan latar belakang.
“Ia merupakan manifestasi komitmen berterusan Yayasan Bank Rakyat dalam menyokong aspirasi kerajaan bagi memperkasa komuniti serta mendukung agenda pembangunan sosial yang mampan, khususnya dalam bidang pendidikan.
“Inisiatif ini juga selari dengan nilai kesejahteraan dalam konsep Malaysia MADANI yang mementingkan pendidikan untuk melahirkan individu bertanggungjawab serta mampu menyumbang semula kepada pertumbuhan sosioekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Inisiatif Jangkauan Komuniti Madani: Kembali ke Sekolah 2026, di sini semalam.
Menerusi kerjasama dengan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), pelajar sekolah kebangsaan dan menengah yang terpilih daripada 14 buah sekolah di seluruh negara berpeluang untuk mendapatkan barangan kelengkapan sekolah di pasar raya berkenaan.
Antara sekolah yang menerima sumbangan, termasuk Sekolah Kebangsaan La Salle 1 Jinjang, Kuala Lumpur, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pay Yap, Melaka, Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Port Dickson, Negeri Sembilan, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Limbang, Sarawak serta Sekolah Kebangsaan Kimanis, Papar, Sabah.
Sekolah yang terpilih itu turut merangkumi Sekolah Angkat MADANI, iaitu inisiatif strategik Kerajaan yang memberi tumpuan kepada pembangunan sosial dan ekonomi di peringkat sekolah.
Nizam berkata, Bank Rakyat komited melaksanakan inisiatif bantuan pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang bagi meringankan beban keluarga serta memperluas peluang akademik, sekali gus memberi manfaat kepada individu, masyarakat dan negara.
“Kami berharap agar sumbangan yang disalurkan ini dapat memberi manfaat kepada anak-anak ini dan seterusnya meringankan beban ibu bapa dan keluarga dalam menghadapi kekangan kewangan yang dihadapi,” ujarnya
Melangkah ke hadapan, beliau berkata, pelbagai inisiatif Jangkauan Komuniti sedang direncanakan untuk memberi lebih banyak manfaat kepada golongan yang memerlukan.
“Pelbagai inisiatif ini mencerminkan kesungguhan Bank Rakyat bukan sekadar sebagai institusi kewangan yang mementingkan keuntungan semata-mata.
“ Ia juga sebagai pemain utama dalam membantu membina masa depan yang lebih cerah untuk generasi muda,” jelasnya.
Sejak 2022 hingga tahun ini, Bank Rakyat yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan sumbangan Kembali ke Sekolah bernilai lebih RM1.3 juta secara keseluruhan.
Sumbangan itu telah diagihkan kepada lebih 12,000 orang pelajar yang memerlukan daripada pelbagai bangsa dan agama di seluruh negara. –UTUSAN










