IPOH: Seramai 45 orang atlet anak Perak yang merekodkan pencapaian cemerlang sewaktu Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember lalu menerima insentif kemenangan berjumlah RM93,800 daripada kerajaan negeri.
Pada temasya sukan itu, atlet Perak berjaya meraih 26 pingat emas antaranya menerusi sukan kriket berpasukan, sepak takraw, hoki, gimnastik, berbasikal, tenpin bowling, kabbadi dan skuasy.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pemberian insentif kemenangan itu merupakan penghargaan kerajaan negeri atas pencapaian anak tempatan dalam bidang sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Kita rasa begitu teruja dan berbangga apabila mengetahui ramai anak Perak yang mewakili Malaysia dalam Sukan SEA baru-baru ini dengan sebahagian daripada mereka hadir hari ini memakai pingat yang dimenangi,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dan Insentif Kecemerlangan Atlet Negeri Perak Tahun 2025 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Pada majlis sama, Saarani turut menyampaikan Insentif Kecemerlangan Sukan Negeri Perak Tahun 2025 kepada 40 orang atlet berjumlah RM45,650 selain menyempurnakan penyerahan bas baharu Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak untuk SUKMA 2026.
Terdahulu, Saarani turut menyempurnakan watikah pelantikan kepimpinan kontinjen negeri Perak bagi kejohanan SUKMA Ke-22 yang dijadualkan berlangsung di Selangor pada Ogos depan sebagai langkah awal memperkukuh persediaan negeri menghadapi temasya tersebut.
Kepimpinan kontinjen Perak pada kejohanan itu akan diterajui oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim selaku Cheff de Mission dibantu Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohamad Zaki Mahyudin dan bekas atlet terjun negara, Datuk Leong Mun Yee sebagai Timbalan Chef de Mission.
Saarani berkata, pelantikan Mun Yee itu mengambil kira peranan dan sumbangan beliau dalam penjenamaan Perak sebagai antara negeri yang berjaya melahirkan atlet bertaraf dunia.- UTUSAN










