ISTANBUL: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan bertemu bekas bintang Arsenal dan Jerman, Mesut Ozil ketika lawatan rasmi beliau ke Türkiye bermula Selasa hingga semalam.
Pertemuan itu turut dimuat naik di Facebook rasmi milik Anwar malam tadi.
Anwar berkata, Ozil yang kini terlibat secara aktif dalam AK Party Republik Türkiye turut berkongsi pandangan berkaitan pelbagai perkara terutamanya isu kemanusiaan sejagat.
“Dalam pertemuan ini, saya sempat berkongsi pengalaman serta bertukar pandangan dengan beliau mengenai pelbagai perkara termasuk melibatkan kepentingan umat Islam dan situasi kemanusiaan di Gaza.
“Sebagai selingan santai, perbualan kami turut menyentuh kisah cucu saya yang merupakan penyokong tegar Arsenal, atau The Gunners, satu perkara yang mengundang senyuman beliau,” katanya.
Dalam pertemuan itu, Anwar mengambil kesempatan menjemput Ozil untuk berkunjung ke Malaysia bagi berkongsi pengalaman berkaitan bola sepak, kepimpinan, nilai kemanusiaan serta peranan anak muda dalam memperkukuh solidariti dan memperjuangkan keadilan di peringkat global.
Ozil sebelum ini dikenali bukan sahaja sebagai figura bola sepak antarabangsa, malah lantang menyuarakan isu kemanusiaan dan keadilan sejagat, termasuk membabitkan nasib rakyat Palestin.
Semalam, Anwar tiba di Istanbul untuk menyambung lawatan rasmi tiga hari beliau ke Turkiye, sebelum mengakhiri lawatan rasmi selama tiga hari ke negara itu. – UTUSAN










