PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh seminggu kepada pimpinan badan penguat kuasa di negara ini untuk melaksanakan tugas masing-masing dengan baik.
Tegas Perdana Menteri, jika mereka (pimpinan penguat kuasa) tidak mampu melaksanakan tugas itu, mereka boleh bersedia untuk diletakkan di jawatan yang lebih rendah atau tanggungjawab lebih kecil.
Menurunya, beliau mengakui sudah hilang sabar dengan pelbagai isu rasuah, salah guna kuasa dan tatakelola yang berlaku dalam negara ketika ini.
“Jadi saya nak berikan kata-kata yang keras dan singkat sahaja. Sudah sampai ketikanya di mana kita harus beri jawapan.
“Kalau sudah diamanahkan dan rasanya kurang mampu menerima tugas ini kerana cabaran terlalu besar atau ujian berat serta lebih minat dengan tarikan pelawaan yang terlalu menarik.
“Maka, saya syorkan dalam tempoh seminggu ini kepada ketua-ketua jabatan badan penguat kuasa yang belum bersedia mengambil amanah sebagai pemimpin penguat kuasa,” katanya ketika menyampaikan amanat Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Jabatan/Agensi Penguatkuasaan di sini hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa tempoh seminggu yang diberikan itu munasabah kerana beliau sendiri sudah hilang sabar dengan pelbagai kelemahan dan kelompongan yang berlaku dan perlu diperbaiki segera bagi menyelamatkan negara selain harapan rakyat untuk melihat perubahan dalam negara.
Beliau juga mengakui lebih arif tentang kekuatan dan kelemahan dalam negara khususnya selepas tiga tahun mengemudi kerajaan.
Jelasnya lagi, sepanjang tempoh itu, beliau merasakan masih ada ruang yang boleh diperbaiki dan kelemahan yang boleh diatasi khususnya dari segi pencerobohan atau penyeludupan atau kegiatan-kegiatan gelap yang masih berlaku.
Sementara itu, Anwar juga mengingatkan pimpinan pasukan keselamatan dan penguatkuasaan supaya tidak bersikap sambil lewa dalam tugas masing-masing.
“Yang pegang jawatan (tinggi), yang bintang-bintang gemerlapan itu bukan calang-calang orang. Mereka bekerja puluhan tahun dan mendapat pengiktirafan sekian lama.
“Tapi bintang-bintang kegemerlapan ini harus juga mendorong kita dan memaksa kita melakukan sesuatu yang benar dan bijak dan jangan kita ambil sikap sambil lewa.
“Saya memilih untuk meluahkan ini kerana saya rasa tersinggung dan saya masih menaruh (harapan).
Saya tahu dalam lubuk hati kecil, masih ada keinginan untuk buat sesuatu,” katanya. – UTUSAN










