KUALA LUMPUR: Seorang wanita hidup dalam ketakutan selepas diganggu ah long yang menuntut bayaran hutang kakaknya berjumlah SGD$50,000 (kira-kira RM155,387.50) yang dipercayai dipinjam bagi tujuan perjudian di Singapura.
Menurut mangsa yang enggan dikenali, kakaknya, Chew Lai Wah, 38, yang berkhidmat di Singapura lebih 10 tahun, masih tidak dapat dihubungi sejak kira-kira dua minggu lalu.
Katanya, 16 Januari lalu, ah long dari Singapura mula mengganggu keluarganya dengan menghantar mesej ugutan serta video melalui aplikasi WhatsApp.
“Saya menerima mesej serta video ugutan melalui WhatsApp daripada nombor telefon +65-82765154 dan +65-83622179 berkaitan hutang yang belum dijelaskan oleh kakak saya.
“Mereka juga menyimbah cat ke rumah yang salah iaitu rumah jiran saya sehingga menimbulkan salah faham.
“Mereka juga mengugut untuk membakar rumah keluarga saya sekiranya tidak membayar wang yang telah dipinjamkan kepada kakak saya,” katanya ketika sidang akhbar di Wisma MCA, di sini hari ini.
Menurut mangsa, kejadian tersebut merupakan kali ketiga kakaknya membuat pinjaman daripada along.
“Bagi dua pinjaman terdahulu yang dilakukan oleh kakak, saya dan keluarga telah membayar sebanyak RM78,000. Saya juga telah membuat laporan polis serta berhasrat untuk memutuskan hubungan kekeluargaan dengan kakak saya,” katanya.
Menurut mangsa, video ugutan yang diterima daripada along tersebut menunjukkan sebuah rumah di taman perumahan yang terletak di kawasan rumah milik bapanya.
“Sehingga kini, kakak saya masih tidak dapat dihubungi ahli keluarga langsung tidak mengetahui mengenai hutang yang dibuat olehnya.
“Saya berasa bimbang terhadap keselamatan diri dan ahli keluarga sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini pada masa akan datang. Saya juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Kajang bagi tujuan tindakan selanjutnya,” katanya.-UTUSAN










