PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyifatkan amaran keras diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pimpinan badan penguat kuasa mencerminkan ketegasan kerajaan membanteras isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
Menurutnya, tempoh seminggu diberikan Perdana Menteri itu juga selari dengan hasrat kerajaan pada 2026 adalah untuk bertindak lebih pantas dalam membanteras isu berkenaan.
“Perkara ini pernah ditegaskan Perdana Menteri dalam amanat tahun baharu pada 5 Januari lalu. Ketegasan pentadbiran Anwar itu juga akan dibangkitkan pada mesyuarat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikannya petang ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Jabatan/Agensi Penguatkuasaan di sini hari ini.
Ditanya jika ada pegawai tertinggi agensi penguatkuasaan yang dijangka berundur kerana tidak bersedia memenuhi kehendak kerajaan itu, Shamsul Azri berkata, pihaknya akan melihat siapa yang akan berbuat demikian.
“Kini kami benar-benar serius. Tempoh seminggu diberikan kerana kami lebih pantas, jika tidak kami beri masa sebulan,” katanya.
Isnin lalu, pada sambutan Hari Kasram Sedunia 2026, Anwar dilaporkan berkata, beliau yakin semua agensi kerajaan dalam negara mampu memungut dana yang hilang dan tiris melebihi angka RM15.5 bilion yang berjaya diselamatkan setakat ini.
Perdana Menteri berkata, walaupun ramai kakitangan kerajaan yang berkhidmat dengan cemerlang, masih ada bibit-bibit kerosakan dan kepincangan dalam agensi kerajaan terutama yang melaksanakan penguatkuasaan undang-undang, sehingga berlaku ketirisan. – UTUSAN










