PUTRAJAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) mahu semua pegawai dan anggotanya kekal berintegriti dan tidak sekali-kali terbabit dalam salah guna kuasa dan rasuah.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, beliau secara peribadi tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan sedemikian.
“Dengan pengaruh media sosial ketika ini, sebarang perbuatan salah laku dan rasuah mudah dirakam dan disebarkan dalam kalangan masyarakat.
“Kami sentiasa mengingatkan kepada pegawai dan anggota AKPS agar tidak terjebak dalam apa juga salah guna kuasa mahupun rasuah kerana akan sentiasa ada mata memandang,” katanya selepas majlis penyerahan watikah komander-komander AKPS di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Suhaily berkata, setiap komander AKPS dilantik perlu mengambil tanggungjawab melaksanakan transformasi atau inisiatif yang boleh memberikan impak kepada negara.
“Kalau dia duduk pejabat saja dan memberi arahan tanpa tahu apa yang berlaku di bawah, mungkin akan ada salah faham antara lapangan dan orang yang memimpin,” katanya.
Terdahulu, Mohd Shuhaily menyerahkan watikan pelantikan kepada Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal yang dilantik Komander Pintu Masuk Pelabuhan Klang, AKPS.
Turut menerima watikah adalah Pegawai Tadbir Diplomatik Mohd Safrie Zakaria yang dilantik Komander Pintu Masuk (KPM), Pintu Masuk KLIA Terminal 1 dan Penguasa Kastam Farah Azura Mohd Shargawi pula menjawat jawatan Komander Pintu Masuk Pelabuhan Kuantan, AKPS.
Mohd Shuhaily dalam ucapannya berkata, pelantikan ketiga-tiga komander baharu AKPS daripada latar belakang jabatan dan agensi yang berbeza dibuat berdasarkan kelayakan, pengalaman serta kepakaran masing-masing
dalam pengurusan pintu masuk negara. – UTUSAN










