PUTRAJAYA: Ajaran sesat kini tidak lagi muncul secara terang-terangan seperti dahulu sebaliknya menyamar dalam bentuk program motivasi, pembangunan diri dan modul kerohanian sehingga menyukarkan proses pengesanan awal oleh pihak berkuasa.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata, selain itu kebanyakan pengikut ajaran sesat kini terjerumus dengan dakyah yang dibawa kerana keinginan untuk cepat mencapai kedudukan rohani yang lebih tinggi tanpa melalui ajaran agama sebenar.
“Ada ajaran yang datang dalam bentuk motivasi atau program tertentu, namun hakikatnya membawa fahaman yang menyeleweng. Perkara ini memang dalam radar Jakim.
“Ada dalam kalangan mereka yang sebelum ini terleka dengan amalan agama, kemudian mencari jalan singkat untuk cepat sampai ke makam yang lebih tinggi. Di situlah mereka mudah terjebak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Temu Bual Khas Bersama Pengarang Kanan Agensi Media di sini semalam.
Sirajuddin berkata, sekurang-kurangnya 10 ajaran sesat dikesan masih aktif menyebarkan fahaman mereka di negara ini berada dalam pemantauan Jakim dan pihak berkuasa agama negeri.
Katanya, kesemua ajaran terbabit dikesan beroperasi di Malaysia dan sebahagiannya mempunyai kaitan serta pengaruh dari luar negara.
“Corak pergerakan ajaran sesat lazimnya bermula di kawasan luar bandar sebelum menyusup masuk ke kawasan bandar bagi menarik pengikut baharu.
“Biasanya mereka berkumpul di luar bandar dahulu, kemudian dibawa ke bandar. Ajaran ini juga tidak terikat dengan negeri tertentu kerana mereka akan beroperasi di lokasi yang dirasakan selamat dan mudah mendapatkan pengikut,” katanya
Beliau berkata, Jakim dengan bekerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta agensi berkaitan memantau dan mengawal kandungan digital yang mencurigakan dalam usaha menangani penyebaran fahaman songsang di alam maya.
Katanya, masyarakat perlu berhati-hati dengan lambakan pandangan agama di media sosial yang mengeluarkan pandangan mengelirukan.-UTUSAN









