PETALING JAYA: Bekas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Gambar pertemuan itu dikongsikan Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Che Sulaiman menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya.
Ia sekali gus mencetuskan spekulasi wujudnya usaha untuk memberikan mandat kepimpinan gabungan itu kepada Ahmad Samsuri.
Terdahulu, media melaporkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mengesahkan parti itu akan menerajui PN susulan peletakan jawatan oleh Muhyiddin sebagai Pengerusinya baru-baru ini.
Abdul Hadi dipetik berkata, mesyuarat mengenai calon Pengerusi PN yang baharu akan berlangsung minggu ini dengan dijangka turut dihadiri pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) .
Dua nama dicadangkan Pas setakat ini iaitu Timbalan Presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahmad Samsuri.
Selain pas, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainnuddin turut disebut mengetuai PN.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengesahan rasmi dikeluarkan oleh mana-mana pihak setakat ini.-UTUSAN










