IPOH: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan resit pembayaran palsu berkaitan pembelian barang bernilai RM38,943.22 pada Ogos tahun lalu.
Tertuduh, Lee Wooi Siong, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa dengan curang memperdayakan Lim Koh Liang, 32, dengan mengemukakan resit pembayaran palsu yang kononnya menunjukkan bayaran telah dibuat bagi pembelian atau penyerahan barang.
Tindakan lelaki itu telah mendorong mangsa menyerahkan barang kepadanya sedangkan tertuduh mengetahui bayaran sebenar tidak pernah dibuat sekali gus menyebabkan mangsa mengalami kerugian barang bernilai RM38,943.22.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S. Nishaalini mencadangkan jaminan sebanyak RM13,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan.
Bagaimanapun, peguam bela, S. Vinesh memohon anak guamnya yang telah bercerai dan mempunyai tanggungan seorang anak itu diberikan jaminan minimum dalam lingkungan RM3,000.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.
Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 7 April 2026. – UTUSAN










