PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan nasihat tegas kepada Panglima Tentera Darat yang baharu, Jeneral Datuk Azhan Md. Othman supaya memastikan seluruh warganya terus berpegang teguh kepada nilai integriti dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahankan negara.
Seri Paduka yang juga pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengingatkan bahawa kepemimpinan berintegriti mesti bermula dari peringkat tertinggi dan Panglima Tentera Darat hendaklah menjadi contoh teladan dalam membudayakan tadbir urus yang bersih, telus dan bertanggungjawab dalam organisasi.
Baginda menegaskan, rasuah merupakan musuh utama yang boleh melemahkan kekuatan serta menjejaskan kredibiliti angkatan pertahanan negara, justeru sebarang bentuk salah guna kuasa dan penyelewengan tidak boleh diterima sama sekali.
“Sebelum ini, sudah beberapa kali saya menegaskan mengenai kewujudan ‘orang tengah’ atau ejen di Kementerian Pertahanan. Sepatutnya mereka semua ini tidak boleh dibenarkan masuk,” titah Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan harapan agar Tentera Darat terus dihormati dan diyakini rakyat sebagai sebuah angkatan yang profesional serta bebas daripada sebarang amalan rasuah demi menjamin kedaulatan dan keselamatan negara.
Seri Paduka berkenan menerima menghadap Azhan di Istana Bukit Tunku dekat sini, hari ini.
Azhan secara rasmi dilantik sebagai Panglima Tentera Darat Ke-31 berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Pelantikan tersebut dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera Ke-631 pada 19 November 2025 dan diperkenankan oleh Seri Paduka pada 1 Disember 2025. – UTUSAN










