PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) akan diambil berhubung kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana milik Yayasan Akalbudi membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
AGC berkata, keputusan ini dengan sekaligus membawa kepada penamatan muktamad kes berkenaan selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.
“Jabatan ini menegaskan bahawa keputusan yang diambil adalah berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan serta keperluan untuk memastikan kepastian dan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah,” kata AGC dalam kenyataan hari ini.
Kata kenyataan itu, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pada 4 September 2023.
Katanya, berikutan keputusan DNAA tersebut, siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Ia merangkumi aspek-aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana berkenaan, termasuk perkara-perkara yang dibangkitkan melalui enam representasi yang dikemukakan kepada Jabatan ini selepas Ahmad Zahid dipanggil untuk membela diri,” jelasnya.
AGC berkata, berdasarkan penilaian dan pertimbangan pendakwaan mendapati bahawa keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan tersebut.
“Penelitian ini dibuat dengan turut mempertimbangkan perkara-perkara berikut iaitu skop dan fokus siasatan pada peringkat awal yang berkaitan secara langsung dengan pertuduhan yang difailkan.
“Selain, pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan yang telah direkodkan pada peringkat awal berhubung kesesuaian dan kecukupan keterangan bagi menyokong pendakwaan serta kebolehkekalan penerusan pendakwaan.
“Ia juga mengambil kira, langkah-langkah siasatan lanjut dan terperinci yang kemudiannya dijalankan oleh pihak SPRM bagi melengkapkan dan memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks dan keterangan baru kes,” ujarnya.
Katanya, dapatan hasil siasatan lanjut tersebut yang merangkumi keseluruhan tempoh penubuhan serta operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran dan sumbangan dana ke dalam yayasan berkenaan dari semasa ke semasa.-UTUSAN










