AEON Credit perkenal kad kredit, tawar pulangan tunai hingga 10 peratus

AEON Credit perkenal kad kredit, tawar pulangan tunai hingga 10 peratus

KAD Kredit AEON Member Plus ditawarkan dalam tiga kategori iaitu Klasik, Emas dan Platinum menerusi rangkaian Visa dan Mastercard.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AEON Credit Service (M) Berhad (AEON Credit) melancarkan Kad Kredit AEON Member Plus, sebuah kad kredit generasi baharu yang direka untuk menyatukan keistimewaan keahlian dengan perbelanjaan runcit.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON Credit, Daisuke Maeda berkata, pelancaran ‘Kad Mesti Milik Anda di AEON’ itu menetapkan satu tanda aras baharu dalam ganjaran peruncitan bersepadu di Malaysia.

Katanya, inisiatif itu bukan sahaja memberikan kejelasan yang lebih baik kepada pelanggan malah menawarkan ganjaran yang lebih bermakna selaras dengan visi jangka panjang syarikat menjadi platform kewangan paling mudah diakses.

“Pelancaran ini menandakan langkah pertama dalam perjalanan pendigitalan kami. Kami menyelaraskan tawaran untuk memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pelanggan.

“Ini merupakan kad pertama kami yang diperbuat daripada bahan mampan dan berasaskan bio, sekali gus memperkukuh komitmen kami terhadap kelestarian alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan.

Langkah strategik itu menyaksikan penyelarasan manfaat daripada kad terdahulu iaitu Kad Kredit AEON Classic, Gold, Platinum serta Kad Kredit AEON BiG Visa (Classic dan Gold) ke dalam satu kad tunggal yang lebih komprehensif.

Dalam pada itu, kad Kredit AEON Member Plus ditawarkan dalam tiga kategori iaitu Klasik, Emas dan Platinum menerusi rangkaian Visa dan Mastercard.

Antara tarikan utamanya ialah pemegang kad boleh menikmati pulangan tunai setiap 20 dan 28 hari bulan di AEON Stores serta Aeon BiG.

Pemegang kad kategori Platinum layak menerima pulangan tunai sehingga 10 peratus, manakala kategori Gold dan Classic masing-masing menawarkan lapan peratus dan lima peratus pada tarikh-tarikh tersebut.

Selain itu, pemegang kad juga bakal menikmati gandaan Mata Ganjaran AEON sehingga lima kali ganda serta kemudahan parkir percuma sehingga dua jam di pusat beli-belah AEON dan pasar raya besar AEON BiG terpilih.

Permohonan bagi kad baharu ini kini boleh dilakukan secara digital sepenuhnya menerusi aplikasi AEON Wallet atau laman web AEON Credit. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×