PETALING JAYA: Pelakon, Ezzanie Jasny, kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang menyamar dan menggunakan identitinya tanpa kebenaran di media sosial.
Jelas Ezzanie atau Nur Ezzanie Sherazade Jasny, 26, individu tersebut turut memuat naik gambar ahli keluarganya di samping mengeluarkan kenyataan palsu yang boleh mengundang salah faham.
“Terdapat beberapa akaun palsu yang menyamar sebagai saya, menggunakan gambar peribadi serta ahli keluarga saya secara tidak sah tanpa kebenaran.
“Akaun-akaun ini telah menyebarkan kenyataan palsu dan mengelirukan berkaitan agama, serta menyertai sesi siaran langsung, forum, dan ruangan komen dengan cara yang sama sekali tidak mewakili diri saya,” tulisnya menerusi perkongsian di media sosial.
Bukan itu sahaja, pelakon Dia Bukan Syurga itu juga mengakui situasi menjadi semakin serius apabila pihak tersebut turut mengancam ahli keluarga.
“Perkara ini telah menjadi semakin serius berikutan ugutan langsung yang dibuat terhadap keluarga saya, termasuk mesej yang dihantar kepada adik perempuan saya.
“Hantaran ini saya buat bertujuan sebagai penjelasan dan amaran rasmi. Sebarang tindakan lanjut melibatkan penyamaran, fitnah, gangguan, ancaman, atau penyalahgunaan identiti saya akan didokumentasikan dan tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.
Dalam pada itu, Ezzanie meminta orang ramai agar berhati-hati dan tidak terpedaya dengan sebarang komen atau provokasi yang cuba dicetuskan individu berkenaan.
“Hantaran ini bukan untuk mencetuskan drama, sebaliknya untuk memberi kesedaran dan melindungi keluarga saya.
“Jika anda melihat akaun-akaun ini memberi komen, menyertai ‘live’, atau menyatakan sesuatu yang tidak sopan atau menyinggung perasaan, sila maklum bahawa itu bukan saya,” katanya. -UTUSAN










