81 peratus bangunan Gaza musnah diserang Zionis

81 peratus bangunan Gaza musnah diserang Zionis

TRAK yang sarat dengan bantuan kemanusiaan bergerak di sepanjang jalan Salah al-Din di tengah Gaza, berhampiran Deir al-Balah.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekitar 81 peratus bangunan di Gaza musnah akibat serangan rejim Zionis, menjadikan Bandar Gaza kawasan paling teruk terjejas, sementara rakyat terus kehilangan tempat perlindungan dan bantuan kemanusiaan.

Eksekutif Penyelidik dan Advokasi Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nur Sabrina Suhaimi berkata, Israel terus melancarkan serangan udara dan laut ke atas semenanjung Gaza, menyasarkan beberapa dae­rah utama termasuk Jalan Salahuddin, al-Bureij, Khan Yunis, Rafah dan Al-Shujaiya.

Katanya serangan menghancurkan kawasan kediaman dan infrastruktur penting, sekali gus memburukkan lagi keadaan kehidupan rakyat Gaza yang kini kekurangan tempat berlindung.

“Serangan itu menyasarkan Gaza serta kawasan sekitar Jalan Salahuddin dan tanah perkuburan al-Bureij. Manakala Khan Yunis telah diserang dengan menggunakan kapal perang, manakala kawasan Rafah dan Al-Shujaiya dibedil melalui udara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sehingga kini sebanyak 37 agensi bantuan kemanusiaan antarabangsa disekat untuk masuk ke Gaza dan diminta menghentikan operasi mereka dalam tempoh 60 hari, termasuk sekatan bekalan elektrik dan air ke kemudahan milik Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA).

Semalam, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, mengecam tindakan Israel yang menyukarkan operasi agensi bantuan, sekali gus memberi impak besar kepada penduduk yang memerlukan bantuan asas seperti air, elektrik dan perubatan.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric dilaporkan berkata, sekatan berterusan akan menjejaskan aktiviti bantuan kemanusiaan, khususnya kepada golongan rentan termasuk kanak-kanak, warga emas dan pesakit kronik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CGM, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menyifatkan situasi itu sebagai kematian perlahan bagi penduduk Gaza akibat kebuluran, kesejukan dan kekurangan rawatan perubatan.

“Pembunuhan masih berlaku dan sekatan terus menghalang bantuan perubatan serta kemasukan kende­raan logistik. Bantuan sedia ada tidak mencukupi dan penderitaan rakyat Gaza akan berlanjutan selagi serangan dan sekatan diteruskan.

“Usaha pemulihan tidak menunjukkan sebarang tanda positif dan rakyat Gaza kini berdepan situasi kritikal yang memerlukan perhatian dunia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN