SEPANG: Seramai 36 jemaah umrah Malaysia yang sebelum ini terkandas di Madinah selamat tiba di tanah air pagi tadi
Wakil jemaah berkenaan, Ahmad Fauzi Abd. Rahman, 58, ketika ditemui berkata, dia dan jemaah lain merakamkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang membantu melancarkan perjalanan pulang mereka ke tanah air.
“Terima kasih, syukur alhamdulillah selamat sampai. Terima kasih rakyat Malaysia menyumbang kepada kami,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 .
Katanya, kesemua jemaah berada keadaan sihat dan semuanya tidak sabar untuk bertemu ahli keluarga masing-masing.
Ahmad Fauzi berkata, dia turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pelbagai pihak yang membantu melancarkan perjalanan pulang itu termasuk Persatuan mutawif di Madinah.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Fauzi berkata, dia akan melaporkan insiden berkenaan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan pihak polis dalam masa terdekat.
Terdahulu, seramai 36 jemaah umrah termasuk 11 kanak-kanak dan seorang warga emas berkerusi roda hidup seperti nomad apabila dikatakan terpaksa berpindah-randah hotel di Mekah dan Madinah beberapa kali, berikutan pihak agensi didakwa gagal membuat tempatan awal.
Bahkan, lima daripada jemaah itu yang sepatutnya kembali ke Malaysia 30 Disember, tidak dapat berbuat demikian berikutan tiket didakwa belum ditempah oleh pihak agensi, manakala baki yang lain pulang ke tanah air pada 3 Januari juga belum mendapat tiket tersebut. – UTUSAN










