35 banduan Penjara Kajang bergelar huffaz

35 banduan Penjara Kajang bergelar huffaz

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan seramai 35 banduan bergelar huffaz ketika menjalani tempoh hukuman dalam penjara.

Saifuddin berkata, banduan penjara Kajang itu bukan calang-calang kerana mereka disabitkan atas pelbagai jenayah serius.

“Jadi bayangkan seorang individu yang telah melalui proses keadilan berakhir di penjara kemudian modul pemulihan penjara itu merubah mereka menjadi huffaz.

“Jenayah yang mereka lakukan itu pula jenayah indeks (jenayah serius termasuk penyalahgunaan dadah) dan bukannya jenayah curi telur ayam dan curi basikal,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Amanat KDN 2026 di sini, hari ini.

Justeru, katanya, beliau telah meminta Ketua Pengarah Penjara dan pasukan untuk memperluaskan program ini ke beberapa penjara lain di seluruh negara.

Saifuddin berkata, beliau percaya program dan modul pemulihan yang disediakan di penjara mampu melatih banduan untuk bergelar huffaz.

“Setakat ini, kita ada 41 buah penjara di seluruh negara dan bayangkan jika satu gerakan tersusun dilakukan untuk memperluas modul huffaz itu. Kejayaan melahirkan huffaz dalam kalangan 80,000 banduan di seluruh negara itu adalah satu kisah kejayaan yang harus diraikan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata, ketika ini, Jabatan Penjara menyediakan 22 rumah perantara bagi banduan yang telah tamat hukuman khususnya yang tidak diterima ahli keluarga.

“Terdapat kes di mana bekas banduan masih tidak diterima oleh keluarga dan komuniti walaupun tempoh hukuman telah tamat. Jadi dia tinggal di rumah perantara bekerja pada siang hari dan kembali pada waktu malam sehingga diterima semula oleh masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN